Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Oct 24, 2012

Contoh Esei 8

Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan peralihan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan di England.
       Pemerintahan beraja mutlak di England bermula sejak penghujung abad ke-15. Sistem ini diasaskan oleh oleh Raja Henry VII iaitu pemerintah Dinasti Tudor. Sistem pemerintahan raja mutlak berpegang kepada prinsip dan  kepercayaan bahawa raja dilantik oleh Tuhan. Raja berkuasa dalam segala hal mengatasi undang-undang.

        Selepas Perang Bunga Ros berakhir, majoriti masyarakat England bersetuju sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak sebagai penyelesai keadaan huru-hara. Pemerintahan raja berkuasa mutlak yang diamalkan semasa Zaman Dinasti Tudor [1485 – 1603] mendapat sokongan rakyat. Hal ini kerana raja-raja Tudor menghormati prinsip perbatasan pemerintah yang terkandung dalam Magna Carta. Parlimen England ketika itu terdiri daripada House of Lord dan House of Commons. House of Lord yang dianggotai oleh tuan tanah yg kaya, bishop dan kerabat diraja lebih berkuasa berbanding House of Commons yang dianggotai oleh golongan knight, orang kaya dan peguam.

        Menjelang  abad ke-17, berlaku perubahan dalam masyarakat England. Di luar Bandar, muncul golongan gentry yang memiliki tanah dan kekayaan melebihi golongan bangsawan. Di Bandar pula, muncul golongan bourjois iaitu saudagar yang kaya ber pendidikan dan berpengetahuan dalam bidang ekonomi. Golongan gentry dan bourjois yang banyak menganggotai House of Commons berani mempertikaikan House of Lord yang didominasi oleh golongan aristokrat. Pada masa yang sama berlaku pergeseran mahzab gereja. Penganut mahzab Protestan marah dengan tindakan  gereja kebangsaan England iaitu Anglican yg masih mengamalkan sifat gereja  Katolik . Golongan puritan ini bermatlamat membersihkan amalan gereja di England daripada pengaruh gereja Katolik Rom.

        Kemangkatan Ratu Elizabeth I menandakan berakhirnya pemerintahan  Dinasti Tudor di England. Sepupu Ratu Elizabeth I iaitu Raja James I dari Scotland telah ditabalkan menjadi raja England. Perlantikan ini menandakan bermulanya pemerintahan Dinasti Stuart. Raja James I berpegang teguh kepada doktrin kuasa suci raja yang menganggap kedudukan raja mengatasi segala undang-undang. Hal ini tidak disenangi  oleh golongan gentry dan bourjois  yang  ingin memisahkan gereja dari pemerintahan. Sikap pilih kasih dalam urusan perdagangan dan  tindakan raja membelakangkan parlimen dalam isu cukai menyebabkan golongan saudagar marah.

        Keadaan bertambah celaru bila Raja Charles I menggantikan ayahandanya sehingga parlimen mengeluarkan Petition of Right. Petisyen ini bertujuan mengutuk raja yang bersikap autokratik. Golongan puritan semakin marah bila Bishop Besar William Laud yang dilantik oleh Raja Charles I melarang golongan puritan melakukan aktiviti keagamaan mereka. Pada tahun 1645, berlaku perang dan tentera parlimen yang dipimpin Oliver Cromwell berjaya mengalahkan tentera Raja Charles I. Oliver Cromwell juga menyingkirkan ahli parlimen yang proraja. Beliau kemudian mengisytiharkan England sebagai  negara republik dan dia sendiri sebagai ketua.

       Walaupun berjaya menubuhkan pemerintahan raja berperlembagaan, Oliver Cromwell tetap menerima tentangan daripada  golongan levelers  dan golongan diggers menuntut setiap rakyat England berhak mengundi dan persamaan hak dalam pemilikan harta. Oliver Cromwell  telah membubarkan parlimen dan membentuk kerajaan baru iaitu Protectorate dan melantik dirinya sebagai Lord Protectorate. Walaupun memerintah mengikut perlembagaan, tetapi beliau pemerintahan bercorak diktaktor ketenteraan.

Contoh Esei 7

Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan  peralihan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan di Perancis.
       Perancis merupakan antara negara di Eropah yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak. Walau bagaimanapun, kepincangan dan ketidakstabilan politik serta kebangkitan rakyat menyebabkan sistem ini dihapuskan dan digantik dengan sistem pemerintahan raja berperlembagaan.

      Di bawah sistem raja berkuasa mutlak yang diamalkan di Perancis, pemerintahan Perancis terletak di tangan Raja, Majlis Diraja dan intendant. Kuasa raja mengatasi semua undang-undang. Raja berkuasa memenjarakan individu yang ingkar atau menyakiti hati golongan berpengaruh. Tindakan ini dipanggil lettre de cachet. Majlis Diraja dianggotai kerabat diraja yg berpengaruh. Mereka berperanan membuat keputusan penting dalam semua bidang. Di peringkat wilayah, intendant diamanahkan untuk  menguruskan hal pentadbiran dan cukai sekaligus mengurangkan kuasa politik golongan bangsawan.
       Golongan  paderi atasan dan golongan bangsawan turut diberi keistimewaan. Golongan bourjois iaitu  golongan kelas menengah seperti professional, guru, peguam dan  pedagang turut diberikan keistimewaan seperti pengecualian cukai. Walau bagaimanapun, golongan ini tidak berpuas hati kerana tidak berpeluang naik pangkat dalam pegawai tentera dan berkhidmat dalam pentadbiran. Golongan petani pula  terbeban dengan pelbagai cukai seperti cukai tanah, garam, harta dan cukai feudal.

       Parlimen Perancis pula terbahagi kepada tiga estet iaitu estet pertama  yang terdiri daripada golongan paderi, estet kedua dianggotai oleh golongan bangsawan dan estet ketiga pula terdiri daripada golongan borjouis dan petani. Estet pertama dan kedua diberi keistimewaan manakala estet ketiga seolah-olah terpinggir. Estet ketiga tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan penting. Tuntutan estet ketiga untuk mendapatkan persamaan hak tidak diendahkan oleh Raja Loui XVI. Estet ketiga akhirnya mengisytiharkan diri sebagai Perhimpunan Kebangsaan atau Parlimen Negara. Tindakan estet ketiga ini menandakan bermulanya Revolusi Perancis. Perjuangan Estet Ketiga mendapat sokongan golongan miskin.

       Perjuangan estet ketiga membuahkan hasil apabila mereka berjaya menawan bangunan Bastille. Kemuncak perjuangan estet ketiga ialah apabila berlakunya peristiwa yang dipanggi ‘Hari Ogos’: Peristiwa ini menandakan penghapusan sistem feudal. Ahli parlimen dan golongan feudal menyerahkan hak  feudal mereka manakala golongan paderi menyerahkan hak gereja. Pada 26 Ogos 1789 , parlimen meluluskan Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara. Pentadbiran Perancis  dibahagikan kepada 83 kawasan [department] dan setiap department ini dibahagi kepada daerah [cantons] dan commune. Kerajaan tempatan dipilih oleh rakyat tempatan dan berkuasa di kawasan masing.
       Menjelang tahun 1791  Majlis Perhimpunan Kebangsaan menyiapkan perlembagaan baru.  Dengan mengambil idea berdasarkan teori pengasingan kuasa  Montesquieu, kerajaan Perancis dibahagikan kepada badan legislative, badan eksekutif dan badan judisiari. Bermulalah era pemerintahan raja berperlembagaan di Perancis. Walau bagaimanapun, pemerintahan raja berperlembagaan berlangsung selama setahun sebelum bertukar kepada republik. Akibat pergeseran antara golongan revolusi dengan golongan menyokong raja, Raja Louis XVI dan isterinya Marie Antoinnette telah dihukum pancung dengan gilotin.

       Perubahan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan menyaksikan pergolakkan politik di Perancis. Kacau-bilau yang berlakunya di Perancis hanya  tamat bila Napoleon Bobaparte mengambil alih pemerintahan [1799].

 

Oct 23, 2012

Contoh Esei 6

Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua.      

       Perang Dingin merujuk kepada konflik antara dua buah kuasa besar iaitu  blok kapitalis yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan blok komunis yang diketuai oleh Soviet Union @ Rusia setelah Perang Dunia Kedua [PD2] berakhir. Perang Dingin tidak melibatkan pertempuran bersenjata  sebaliknya kedua-dua kuasa terbabit biasanya menjadi penyokong atau dalang  kepada negara2 yang berkonflik.

Perbezaan Ideologi   kapitalisme dengan komunisme menjadi punca berlakunya Perang Dingin. Pendukung  kapitalisme merupakan negara demokratik yang meletakkan kuasa di  tangan rakyat. Hal ini berbeza dengan ideologi  komunisme yang di perintah oleh diktator  dan hanya mengiktiraf Parti Komunis. Sistem kapitalisme mendukung prinsip pasaran bebas yang banyak menguntungkan pelabur-pelabur besar. Hal ini bertentangan dengan ideologi  komunisme yang menganggap pemerintah wajar  mengawal  ekonomi bagi memastikan kepentingan pelabur kecil terbela. Perbezaan ideologi ini mendorong kedua-dua kuasa ini  berusaha  meluaskan pengaruh masing-masing.

Selain itu, kegagalan beberapa siri rundingan juga mennyebabkan berlakunya Perang Dingin. Pada 1943,  pemimpin Kuasa Berikat iaitu Amerika Syarikat [AS], Rusia, Perancis dan Britain mengadakan pertemuan untuk membincangkan keadaan politik di Eropah. Perbincangan ini menyangkut hal konsesi Rusia di Eropah Tengah, pembahagian negara Jerman kepada 4 zon tentera, penguasaan Rusia ke atas Poland dan isu penguasaan ke atas Eropah Timur dan Eropah Tengah. Walau bagaimanapun, 3 siri perbincangan di Teheran, Yalta dan Postdam ini tidak mencapai kata putus. Keadaan ini menyebabkan keretakan hubungan negara-negara terbabit sehingga mencetuskan bibit-bibit Perang Dingin. Lebih mengeruhkan keadaan, rakan dalam Kuasa Berikat curiga dengan Rusia yang dikuasai oleh komunis

 Kemerosotan ekonomi di Eropah juga dikatakan menjadi faktor berlakunya Perang Dingin. Ekonomi negara-negara seperti  Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Belanda terjejas teruk  berikutan pendapatan negara diperuntukan membiayai PD2.  AS menggunakan peluang ini dengan menawarkan dana bantuan dan sokongan bagi menghalang perluasan ideologi komunis. AS  kemudian menubuhkan Rancangan Marshall bagi membangunkan semula ekonomi Eropah Barat selain mengekang pengaruh komunis. Rusia menolak Rancangan Marshall kerana beranggapan bahawa ia adalah salah satu bentuk campur tangan AS. Rusia kemudian cuba mempengaruhi negara-negara di Eropah Timur agar tidak menerima bantuan AS dan  bertindak menubuhkan satu pertubuhan ekonomi untuk mengimbangi pertubuhan ekonomi yang dianjurkan oleh AS.

Di samping itu, kebimbangan Rusia terhadap ancaman Jerman juga menjadi faktor penyebab Perang Dingin. Kebimbangan ini menyebabkan  Rusia bercadang menguasai negara-negara  di Eropah timur untuk dijadikan sebagai ‘Zon Penampan’. Joseph Stalin iaitu pemerintah Rusia ketika itu bimbang sejarah Peristiwa Operasi Barbarossa berulang iaitu Adolf Hitler memimpin serangan besar-besaran selama 900 hari dan menggugurkan lebih 600 000 bom ke atas Rusia. Rusia berusaha melemahkan Jerman  dengan menghalang Jerman bersatu di bawah kerajaan kapitalis. Akibatnya, negara  Jerman terbahagi kepada dua  iaitu Jerman Timur [Komunis] dan Jerman Barat [kapitalis].

Jelas sekali bahawa Perang Dingin berpunca daripada usaha kedua-dua kuasa besar  iaitu Amerika Syarikat dan Rusia yang berusaha mengembangkan pengaruh ideolog masing-masing. Perang Dingin ini telah mengakibatkan negara-negara di dunia terpecah kepada dua dua blok iaitu blok kapitalis dan blok komunis.

Oct 19, 2012

Contoh Esei 5

Tema 1: Masyarakat
Soalan: Huraikan perkembangan pertanian di Belanda
Pada abad ke-17 dan ke-18, Belanda muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun ekonominya ekoran  perkembangan pesat kegiatan pertaniannya. Selain tanahnya yang subur, peranan Sungai Rhine dan Sungai Maas banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di Belanda.
Kegiatan pertanian di Belanda berkembang pesat dengan adanya sistem pengairan yang baik. Menjelang pertengahan abad ke-17, penyaliran tanah telah dilakukan secara besar-besaran di Belanda. Sistem pengairan yang tersusun ini berjaya membekalkan air untuk menyiram tanaman. Kesan penggunaan teknologi pengairan ini banyak membantu  meningkatkan hasil keluaran pertanian Belanda.
Petani-petani di Belanda juga telah memperkenalkan sistem tanaman bergilir. Melalui system ini,  tanah pertanian yang sudah dituai hasilnya tidak biarkan begitu sahaja. Tanah ini kemudiannya ditanam dengan tanaman selingan seperti lobak, kacang pis dan bijirin. Kaedah ini membolehkan petani di Belanda membekalkan hasil pertanian secara berterusan selain mampu mengekalkan kesuburan tanah.
Selain menjalankan kegiatan pertanian, petani di Belanda turut menjalankan kegiatan penternakan terutamanya lembu. Belanda memiliki kawasan yang sesuai untuk memberi makan lembu-lembu ternakan bagi menjadikan ia lebih gemuk. Lembu-lembu yang gemuk ini kemudiannya disembelih sebelum dieksport ke  bandar-bandar di wilayah selatan. Perdagangan lembu ini juga telah membantu merangsang perkembangan ekonomi Belanda.
Walaupun hasil keluaran pertanian di Belanda meningkat, tetapi mereka masih mengimport bijirin seperti gandum dari luar terutamanya Baltik kerana permintaan yang tinggi dan jumlah penduduknya yang semakin meningkat. Perdagangan gandum dengan Baltik  telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Belanda. Perdagangan gandum ini juga turut memberi impak positif kepada bidang lain terutama perkapalan, kelasi dan barangan.
Kepesatan kegiatan pertanian di Belanda banyak dibantu oleh kesuburan tanah, iklim sederhana yang bersesuaian serta inovasi dalam bidang pertanian. Perkembangan kegiatan pertanian ini akhirnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi perdagangan dan perkapalan.

Oct 12, 2012

Contoh Esei 4

Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia
Perang Dunia Kedua yang tercetus pada tahun 1938 meninggalkan impak yang besar kerana bukan sahaja melibatkan negara-negara di Eropah tetapi termasuk negara-negara di Asia dan Afrika. Jepun merupakan salah sebuah negara Asia yang terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia.
Salah satu daripada faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia ialah wujudnya gerakan nasionalisme yang melampau di Jepun. Kita Ikki merupakan seorang pelampau yang mempelopori aliran baharu nasionalisme di Jepun. Beliau berpendapat pembentukan semula negara Jepun oleh tentera atas nama maharaja perlu dilakukan. Beliau menolak amalan demokrasi Barat dan Parlimen Jepun yang mudah terjebak dalam amalan rasuah. Aliran ini menyebabkan berlakunya pergeseran antara parti pemerintah dengan golongan tentera. Kejayaan golongan tentera  mengambil alih tampuk pemerintahan Jepun membolehkan mereka  mengukuhkan kekuatan tenteranya bagi menghadapi kuasa Barat.
 Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929 turut mendorong kepada meletusnya Perang Dunia Kedua. Krisis ekonomi dunia ini telah menyebabkan golongan petani dan rakyat Jepun dibebani kemiskinan. Petani yang tidak berpuas hati dengan pemerintah akhirnya telah menyatakan sokongan kepada tentera. Pada tahun 1936, golongan tentera memberontak dan berjaya menguasai kerajaan. Kerajaan Jepun kemudiannya berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan.
 Kepentingan ekonomi Jepun juga mendorong kepada kancah Perang Dunia Kedua. Dasar Pemodenan Meiji berjaya memacu ekonomi Jepun sehingga menjadi negara industri yang kuat. Kepesatan ekonomi Jepun turut meningkatkan permintaan ke atas bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri. Bagi mendapatkan bekalan bahan mentah dan pasaran, Jepun telah melaksanakan dasar imperialisme. China dan Manchuria yang kaya dengan arang batu, kapas dan sutera telah  menjadi sasaran Jepun. Belanda, Britain, AS dan Perancis bimbang dasar imperialisme Jepun ke kawasan lain seperti Indo-China dan Asia Tenggara menjejaskan kepentingan mereka.
Selain itu, isu keselamatan negara Jepun juga menjadi faktor meletusnya Perang Dunia Kedua. Pada penghujung abad ke-19, Jepun bangkit sebagai kuasa  yang kuat di Asia. Yoshida Shoin, tokoh intelek Jepun menegaskan bahawa Jepun perlu memperkukuhkan pertahanannya. Yamagata Aritomo, salah seorang pemimpin kerajaan Meiji telah mengetengahkan konsep garis kepentingan negara. Konsep ini merujuk kepada kawasan bersempadanan atau  berhampiran dengan Jepun dianggap mempengaruhi keselamatan Jepun. Oleh itu, garis kepentingan negara ini wajar diperkukuhkan. Penekanan ke atas konsep ini menyaksikan Jepun cuba meluaskan garis kepentingan negara dengan menyerang Rusia [1905], Korea [1910], China [1895 & 1937], Manchuria [1932], Indo-China dan Asia Tenggara [1941].
Jelas sekali dasar pemodenan Meiji berjaya menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa yang kuat di rantau Asia. Dasar imperalisme dan ancaman kuasa Barat telah mendorong Jepun bertindak memperkuatkan pertahanan negaranya. Kekuatan Jepun menjadikan negara tersebut bersedia berdepan dengan kuasa Barat  dan juga sebarang kemungkinan peperangan.

Oct 10, 2012

Contoh Esei 3

Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan / jelaskan faktor yang dijadikan alasan oleh Barat untuk menduduki China
Menjelang abad ke-19, ekonomi China berkembang dengan baik. Kekayaan sumber bahan mentah menyebabkan kuasa Barat mulai berminat untuk menduduki China. Ekonomi Eropah berkembang pesat ekoran Revolusi Industri menyebabkan kuasa Barat berusaha mengembangkan pengaruh ke China untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan juga pasaran yang luas.
Antara alasan yang digunakan oleh kuasa Barat iaitu British untuk menguasai China ialah perdagangan yang berat sebelah. Dasar tutup pintu atau pemencilan yang diamalkan dan pelbagai syarat yang dikenakan oleh kerajaan China menyebabkan kuasa Barat kerugian. Sebagai contoh, pedagang Barat hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan Canton dan urusan perniagaan hanya boleh dijalankan melalui orang tengah iaitu Co-hong. Selain itu, pedagang Barat juga hanya dibenarkan berurus niaga dengan menggunakan wang emas atau perak sahaja. Factor inilah yang dijadikan alasan oleh kuasa Barat untuk menduduki China.
Percanggahan dalam soal perundangan juga dijadikan sebagai alasan oleh kuasa British untuk menguasai China. Kerajaan  China berpegang kepada prinsipseseorang yg dituduh melakukan jenayah dianggap bersalah sehinggalah kebenaran dapat dibuktikan”. Hal ini bertentangan dengan prinsip keadilan Barat yang menekankan ” seseorang yg dituduh melakukan kesalahan dianggap tidak bersalah sehinggalah kesalahan dapat dibuktikan dengan jelas”. Situasi ini diburukkan lagi oleh percanggahan falsafah undang-undang kedua-dua kuasa tersebut.  Falsafah undang-undang China menetapkan hukuman adalah “tanggungjawab berkumpulan” manakala falsafah Undang-undang Barat menekankan hukuman adalah “ tanggungjawab individu”.
Soal pengharaman perdagangan candu oleh kerajaan China juga menyemarakan lagi keinginan British untuk menduduki China. Syarat perdagangan yang ketat oleh kerajaan China menyebabkan perdagangan tekstil British  gagal menembusi pasaran China sekaligus menyebabkan British gagal mendapatkan bekalan teh dan sutera yang mendapat permintaan tinggi di Eropah. Kegagalan ini menyebabkan British membawa masuk candu sehingga akhirnya mendapat permintaan tinggi di China. Kemasukan candu menyebabkan pengaliran keluar wang China sehingga memaksa Maharaja Tao Kuang mengharamkan perniagaan candu. Hal ini telah dijadikan alasan oleh British untuk menyerang China.
                Selain itu, isu penyebaran agama Kristian turut dijadikan alasan oleh British untuk menduduki China. China tidak berpuas hati dengan mubaligh kristian yang berjaya menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat China. Perkembangan agama Kristian dianggap mengancam kebudayaan dan tradisi nenek moyang, ajaran Confucius dan Taoisme oleh China. China kemudian bertindak membunuh paderi, rahib dan pegawai Barat di Tientsin serta membakar gereja. British marah dengan tindakan China yang dianggap kejam. Mereka menjadikan isu ini sebagai salah satu cara untuk menguasai China.
                Tekanan daripada British dan kekalahan dalam Perang Candu I dan Perang Candu II menyebabkan China terpaksa menandatangani Perjanjian Nanking [1842]  dan Perjanjian Tientsin [1858]. Perjanjian ini telah membawa kepada pembukaan pelabuhan-pelabuhan di China kepada pedagangan Barat. Akhirnya, Barat Berjaya menguasai perdagangan di China.

Oct 6, 2012

Contoh Esei 2

 TEMA 1: Masyarakat
Soalan: Bandingkan sistem feudal yang diamalkan di Jepun dengan sistem feudal yang diamalkan di England pada abad ke-16.
Sistem feudal merujuk kepada sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Di Eropah, sistem feudal dikatakan berasal dari empayar Rom dan di Jepun pula, sistem ini sudah bermula sejak zaman Kamakura. Terdapat persamaan dan perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di Eropah dengan di Jepun.
Persamaan sistem feudal yang diamalkan di Eropah dan di Jepun dapat dilihat dalam beberapa aspek. Persamaan pertama ialah dari aspek sistem kelas di dalam masyarakat. Masyarakat terbahagi kepada dua iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada golongan bangsawan manakala golongan diperintah terdiri daripada petani, rakyat biasa dan hamba.
Persamaan seterusnya ialah, kurangnya berlaku mobiliti sosial di dalam masyarakat. Jarang berlaku perubahan status dalam masyarakat feudal. Sebagai contoh, jika dilahirkan sebagai anak petani, maka akan terus menjadi petani. Hal ini bertepatan dengan ciri  sistem feudal iaitu kedudukan seseorang adalah  berdasarkan sistem kelas atau hierarki.
Selain itu, masyarakat feudal di Eropah dan Jepun sering berdepan dengan peperangan. Kehidupan masyarakat di kedua-dua negara agar huru-hara. Situasi ini menyebabkan golongan knight di Eropah dan samurai di Jepun memainkan peranan yang sangat penting. Kedua-dua golongan ini berkhidmat dan terikat dengan golongan bangsawan sebagai tentera. Peralatan perang yang digunakan juga sama iaitu kuda, pedang dan baju perisai.
Perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di Eropah dan Jepun pula boleh dilihat dari aspek binaan istana. Istana di Eropah dibina daripada batu manakala istana di Jepun diperbuat daripada kayu. Dari segi pemilikan tanah pula, golongan knight di Eropah mendapat tanah sebagai ganjaran atas perkhidmatan sebagai tentera. Di Jepun  pula, golongan samurai tidak memiliki tanah kerana daimyo membayar gaji samurai dalam bentuk beras.
Perbezaan seterusnya ialah dari aspek pengukuhan negara bangsa. Pengukuhan negara bangsa di Eropah dilakukan oleh raja-raja Tudor yang memerintah dengan cekap. Di Jepun pula, penyatuan dan keamanan negara dilaksanakan oleh jeneral tentera. Dari aspek perundangan pula, masyarakat feudal di Eropah mengamalkan konsep undang-undang Rom yang menekankan hak, undang-undang dan kewajipan. Masyarakat feudal di Jepun pula dipengaruhi oleh etika China yang menekankan aspek moral melebihi undang-undang.
Jelas terbukti bahawa sistem feudal yang diamalkan di Eropah dan di Jepun mempunyai persamaan terutama berkaitan sistem kelas masyarakat,  peperangan dan mobiliti sosial dalam masyarakat. Walau bagaimanapun terdapat  juga perbezaan dari aspek binaan istana, pemilikan tanah, penyatuan negara bangsa dan konsep perundangan.

Contoh Esei 1

Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16 hingga ke-20.

Pembesar merujuk kepada pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk membantu melicinkan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Di China, pegawai yang terdiri daripada golongan cerdik pandai merupakan orang kedua terpenting selepas maharaja. Pembesar China boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembesar di peringkat pusat dan pembesar di peringkat wilayah.

Pentadbiran China dibahagikan kepada tiga unit utama iaitu Majlis Tertinggi, Sekretariat Agung dan Lembaga Penapis [Censorate]. Majlis Tertinggi terdiri daripada enam kementerian yang setiap satunya diketuai oleh pegawai yang dipanggil Shangschu. Majlis Tertinggi berperanan menasihati maharaja dalam hal pemerintahan. Sekretariat Agung berperanan menyelia, menyelaras  dan melaporkan perjalanan enam kementerian yang terdapat dalam pentadbiran kerajaan pusat. Lembaga Penapis pula berperanan menjadi mata dan telinga maharaja yang melaporkan setiap tindakan pembesar.

Dalam sistem pembesar China terdapat dua kelompok pembesar iaitu golongan sarjana dan bukan sarjana. Golongan sarjana menduduki darjat paling tinggi dalam sistem pembesar China. Golongan ini merupakan lulusan peperiksaan awam yang menjadi syarat lantikan atau kenaikan pangkat. Golongan sarjana biasanya menjawat jawatan yang penting terutama dalam hal yang melibatkan penggubalan dasar. Dasar yang telah digubal ini akan dilaksanakan oleh pembesar bawahan di peringkat wilayah dengan bantuan pembesar tempatan iaitu gentry.

Pembesar peringkat wilayah yang bukan golongan sarjana pula memiliki angkatan tentera sendiri. Mereka berperanan menyediakan bantuan ketenteraan kepada pemerintah pusat terutama ketika diperlukan.  Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan wilayah sendiri. Kedudukan pembesar ini lebih rendah berbanding pembesar golongan sarjana.
Semasa pemerintahan Dinsati Ch’ing, gabenor dilantik sebagai pentadbir daerah yang menguruskan pentadbiran, keamanan dan ketenteraan, serta kutipan cukai. Gabenor ini berhubung langsung dengan pemerintahan pusat. Kesetiaan gabenor kepada pemerintah pusat dipaterikan dalam dikri diraja. Gabenor akan mentadbir dan  dibantu oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja.

Sistem pembesar di China yang menekankan ajaran klasik Confucius menyaksikan China bangkit sebagai sebuah kuasa yang besar sekitar abad ke-16 hingga ke-20. Walau bagaimanapun, sikap pemerintah Dinasti Ch’ing yang tidak lagi menekankan  ajaran Confucius menyebabkan kemerosotan nilai dan etika para pembesar yang lebih mementingkan kebendaan. Sistem pembesar di China berakhir apabila pemerintahan Dinsati Ch’ing tamat.
* Untuk maklumat terperinci, sila rujuk nota Sistem Pembesar di China.
 

       

Oct 4, 2012

STPM Terminal vs STPM Baharu

Salam sayang untuk para pelajar semua.

Kali ini saya ingin kongsikan Tip Menjawab Kertas Sejarah. Haa... pasti anda semua tertanya-tanya, apa dah jadi? Kata nak kongsikan contoh esei sejarah, tup-tup lain pula citernya. Jangan risau, cikgu ingat janji cikgu tu.

Apa kata kita teliti perbezaan di antara STPM Terminal dengan STPM Baharu;
 
Ketara sangat perbezaannya kan? Jika dilihat sepintas lalu, STPM Baharu lebih ringan bebannya tetapi pengurusan masa amat penting bagi memastikan kita tidak ketinggalan.
 
 
 
 
 

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]