Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Oct 12, 2012

Contoh Esei 4

Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia
Perang Dunia Kedua yang tercetus pada tahun 1938 meninggalkan impak yang besar kerana bukan sahaja melibatkan negara-negara di Eropah tetapi termasuk negara-negara di Asia dan Afrika. Jepun merupakan salah sebuah negara Asia yang terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia.
Salah satu daripada faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia ialah wujudnya gerakan nasionalisme yang melampau di Jepun. Kita Ikki merupakan seorang pelampau yang mempelopori aliran baharu nasionalisme di Jepun. Beliau berpendapat pembentukan semula negara Jepun oleh tentera atas nama maharaja perlu dilakukan. Beliau menolak amalan demokrasi Barat dan Parlimen Jepun yang mudah terjebak dalam amalan rasuah. Aliran ini menyebabkan berlakunya pergeseran antara parti pemerintah dengan golongan tentera. Kejayaan golongan tentera  mengambil alih tampuk pemerintahan Jepun membolehkan mereka  mengukuhkan kekuatan tenteranya bagi menghadapi kuasa Barat.
 Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929 turut mendorong kepada meletusnya Perang Dunia Kedua. Krisis ekonomi dunia ini telah menyebabkan golongan petani dan rakyat Jepun dibebani kemiskinan. Petani yang tidak berpuas hati dengan pemerintah akhirnya telah menyatakan sokongan kepada tentera. Pada tahun 1936, golongan tentera memberontak dan berjaya menguasai kerajaan. Kerajaan Jepun kemudiannya berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan.
 Kepentingan ekonomi Jepun juga mendorong kepada kancah Perang Dunia Kedua. Dasar Pemodenan Meiji berjaya memacu ekonomi Jepun sehingga menjadi negara industri yang kuat. Kepesatan ekonomi Jepun turut meningkatkan permintaan ke atas bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri. Bagi mendapatkan bekalan bahan mentah dan pasaran, Jepun telah melaksanakan dasar imperialisme. China dan Manchuria yang kaya dengan arang batu, kapas dan sutera telah  menjadi sasaran Jepun. Belanda, Britain, AS dan Perancis bimbang dasar imperialisme Jepun ke kawasan lain seperti Indo-China dan Asia Tenggara menjejaskan kepentingan mereka.
Selain itu, isu keselamatan negara Jepun juga menjadi faktor meletusnya Perang Dunia Kedua. Pada penghujung abad ke-19, Jepun bangkit sebagai kuasa  yang kuat di Asia. Yoshida Shoin, tokoh intelek Jepun menegaskan bahawa Jepun perlu memperkukuhkan pertahanannya. Yamagata Aritomo, salah seorang pemimpin kerajaan Meiji telah mengetengahkan konsep garis kepentingan negara. Konsep ini merujuk kepada kawasan bersempadanan atau  berhampiran dengan Jepun dianggap mempengaruhi keselamatan Jepun. Oleh itu, garis kepentingan negara ini wajar diperkukuhkan. Penekanan ke atas konsep ini menyaksikan Jepun cuba meluaskan garis kepentingan negara dengan menyerang Rusia [1905], Korea [1910], China [1895 & 1937], Manchuria [1932], Indo-China dan Asia Tenggara [1941].
Jelas sekali dasar pemodenan Meiji berjaya menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa yang kuat di rantau Asia. Dasar imperalisme dan ancaman kuasa Barat telah mendorong Jepun bertindak memperkuatkan pertahanan negaranya. Kekuatan Jepun menjadikan negara tersebut bersedia berdepan dengan kuasa Barat  dan juga sebarang kemungkinan peperangan.

No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]