Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Oct 23, 2012

Contoh Esei 6

Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua.      

       Perang Dingin merujuk kepada konflik antara dua buah kuasa besar iaitu  blok kapitalis yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan blok komunis yang diketuai oleh Soviet Union @ Rusia setelah Perang Dunia Kedua [PD2] berakhir. Perang Dingin tidak melibatkan pertempuran bersenjata  sebaliknya kedua-dua kuasa terbabit biasanya menjadi penyokong atau dalang  kepada negara2 yang berkonflik.

Perbezaan Ideologi   kapitalisme dengan komunisme menjadi punca berlakunya Perang Dingin. Pendukung  kapitalisme merupakan negara demokratik yang meletakkan kuasa di  tangan rakyat. Hal ini berbeza dengan ideologi  komunisme yang di perintah oleh diktator  dan hanya mengiktiraf Parti Komunis. Sistem kapitalisme mendukung prinsip pasaran bebas yang banyak menguntungkan pelabur-pelabur besar. Hal ini bertentangan dengan ideologi  komunisme yang menganggap pemerintah wajar  mengawal  ekonomi bagi memastikan kepentingan pelabur kecil terbela. Perbezaan ideologi ini mendorong kedua-dua kuasa ini  berusaha  meluaskan pengaruh masing-masing.

Selain itu, kegagalan beberapa siri rundingan juga mennyebabkan berlakunya Perang Dingin. Pada 1943,  pemimpin Kuasa Berikat iaitu Amerika Syarikat [AS], Rusia, Perancis dan Britain mengadakan pertemuan untuk membincangkan keadaan politik di Eropah. Perbincangan ini menyangkut hal konsesi Rusia di Eropah Tengah, pembahagian negara Jerman kepada 4 zon tentera, penguasaan Rusia ke atas Poland dan isu penguasaan ke atas Eropah Timur dan Eropah Tengah. Walau bagaimanapun, 3 siri perbincangan di Teheran, Yalta dan Postdam ini tidak mencapai kata putus. Keadaan ini menyebabkan keretakan hubungan negara-negara terbabit sehingga mencetuskan bibit-bibit Perang Dingin. Lebih mengeruhkan keadaan, rakan dalam Kuasa Berikat curiga dengan Rusia yang dikuasai oleh komunis

 Kemerosotan ekonomi di Eropah juga dikatakan menjadi faktor berlakunya Perang Dingin. Ekonomi negara-negara seperti  Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Belanda terjejas teruk  berikutan pendapatan negara diperuntukan membiayai PD2.  AS menggunakan peluang ini dengan menawarkan dana bantuan dan sokongan bagi menghalang perluasan ideologi komunis. AS  kemudian menubuhkan Rancangan Marshall bagi membangunkan semula ekonomi Eropah Barat selain mengekang pengaruh komunis. Rusia menolak Rancangan Marshall kerana beranggapan bahawa ia adalah salah satu bentuk campur tangan AS. Rusia kemudian cuba mempengaruhi negara-negara di Eropah Timur agar tidak menerima bantuan AS dan  bertindak menubuhkan satu pertubuhan ekonomi untuk mengimbangi pertubuhan ekonomi yang dianjurkan oleh AS.

Di samping itu, kebimbangan Rusia terhadap ancaman Jerman juga menjadi faktor penyebab Perang Dingin. Kebimbangan ini menyebabkan  Rusia bercadang menguasai negara-negara  di Eropah timur untuk dijadikan sebagai ‘Zon Penampan’. Joseph Stalin iaitu pemerintah Rusia ketika itu bimbang sejarah Peristiwa Operasi Barbarossa berulang iaitu Adolf Hitler memimpin serangan besar-besaran selama 900 hari dan menggugurkan lebih 600 000 bom ke atas Rusia. Rusia berusaha melemahkan Jerman  dengan menghalang Jerman bersatu di bawah kerajaan kapitalis. Akibatnya, negara  Jerman terbahagi kepada dua  iaitu Jerman Timur [Komunis] dan Jerman Barat [kapitalis].

Jelas sekali bahawa Perang Dingin berpunca daripada usaha kedua-dua kuasa besar  iaitu Amerika Syarikat dan Rusia yang berusaha mengembangkan pengaruh ideolog masing-masing. Perang Dingin ini telah mengakibatkan negara-negara di dunia terpecah kepada dua dua blok iaitu blok kapitalis dan blok komunis.

1 comment:

  1. Cikgu macam mana dengan kesan perang dingin dengan merujuk perkembangan di negara rusia dan amerika syarikat

    ReplyDelete

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]