Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Oct 19, 2012

Contoh Esei 5

Tema 1: Masyarakat
Soalan: Huraikan perkembangan pertanian di Belanda
Pada abad ke-17 dan ke-18, Belanda muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun ekonominya ekoran  perkembangan pesat kegiatan pertaniannya. Selain tanahnya yang subur, peranan Sungai Rhine dan Sungai Maas banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di Belanda.
Kegiatan pertanian di Belanda berkembang pesat dengan adanya sistem pengairan yang baik. Menjelang pertengahan abad ke-17, penyaliran tanah telah dilakukan secara besar-besaran di Belanda. Sistem pengairan yang tersusun ini berjaya membekalkan air untuk menyiram tanaman. Kesan penggunaan teknologi pengairan ini banyak membantu  meningkatkan hasil keluaran pertanian Belanda.
Petani-petani di Belanda juga telah memperkenalkan sistem tanaman bergilir. Melalui system ini,  tanah pertanian yang sudah dituai hasilnya tidak biarkan begitu sahaja. Tanah ini kemudiannya ditanam dengan tanaman selingan seperti lobak, kacang pis dan bijirin. Kaedah ini membolehkan petani di Belanda membekalkan hasil pertanian secara berterusan selain mampu mengekalkan kesuburan tanah.
Selain menjalankan kegiatan pertanian, petani di Belanda turut menjalankan kegiatan penternakan terutamanya lembu. Belanda memiliki kawasan yang sesuai untuk memberi makan lembu-lembu ternakan bagi menjadikan ia lebih gemuk. Lembu-lembu yang gemuk ini kemudiannya disembelih sebelum dieksport ke  bandar-bandar di wilayah selatan. Perdagangan lembu ini juga telah membantu merangsang perkembangan ekonomi Belanda.
Walaupun hasil keluaran pertanian di Belanda meningkat, tetapi mereka masih mengimport bijirin seperti gandum dari luar terutamanya Baltik kerana permintaan yang tinggi dan jumlah penduduknya yang semakin meningkat. Perdagangan gandum dengan Baltik  telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Belanda. Perdagangan gandum ini juga turut memberi impak positif kepada bidang lain terutama perkapalan, kelasi dan barangan.
Kepesatan kegiatan pertanian di Belanda banyak dibantu oleh kesuburan tanah, iklim sederhana yang bersesuaian serta inovasi dalam bidang pertanian. Perkembangan kegiatan pertanian ini akhirnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi perdagangan dan perkapalan.

3 comments:

  1. cikgu tolong sy upload contoh esei kesan perang dingin dan raja mutlak & raja berperlembagaan di england dan perancis..ia amat membantu sy..tolong ya cg..tak lma lgi final exam..nervous..thanks cgu..-mimi-

    ReplyDelete

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]