Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jan 18, 2013

Perkembangan Masyarakat Islam di Makkah dan Madinah

Soalan: Jelaskan perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w
                Perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah melalui pelbagai tahap yang mencabar seawal perkembangan penyebaran Islam di Makkah sehinggalah terbentuknya negara Islam Madinah. Tahap di Makkah lebih sesuai dianggap dalam proses pembinaan masyarakat Islam manakala di Madinah lebih kepada tahap pembentukan dan penyatuan ummah.
                Di Makkah, usaha pembinaan masyarakat Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w. berlangsung selama 13 tahun melalui aktiviti dakwah. Setelah berdakwah secara sulit selama tiga tahun, hanya beberapa orang sahaja memeluk Islam termasuk isteri baginda, Siti Khadijah. Dakwah secara terbuka dijalankan setelah baginda menerima wahyu agar berbuat demikian. Bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab merupakan orang pertama menentang secara tegas.
                Pelbagai usaha dilakukan kaum Quraisy Makkah untuk menghalang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Contohnya, mereka meminta Abu Talib menasihati baginda agar menghentikan dakwahnya tetapi gagal. Kaum Quraisy Makkah kemudiannya mula bertindak ganas terhadap umat Islam Makkah. Bagi menangkis penindasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan umat Islam berpindah ke Habsyah secara sulit. Kaum Quraisy telah menghantar wakil menemui Raja Habsyah agar menghantar pulang umat Islam namun tidak diendahkan oleh Raja Habsyah. Tindakan Umar al Khattab memeluk Islam, memberi tamparan hebat kepada kaum Quraisy sehingga mereka mula memulaukan Bani Hasyim dan Bani Mutalib.
                Terdapat beberapa faktor kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Antara faktor tersebut ialah mereka ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh serta menganggap persamaan taraf yang disyorkan Islam bertentangan dengan amalan tradisi mereka. Selain itu, mereka juga ingin mempertahankan warisan nenek moyang mereka iaitu mengukir patung berhala. Kaum Quraisy juga sebenarnya takut dengan hari kiamat, hari pembalasan selain berasa iri hati dengan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w.
                Usaha membentuk masyarakat Islam di Madinah amat mencabar kerana penduduknya terdiri daripada bangsa Arab dan bukan Arab. Penduduk asal berbangsa Arab iaitu kaum Aus dan Kahzraj. Bangsa bukan Arab pula ialah orang Yahudi seperti Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Kemuncak permusuhan antara Aus dan Khazraj ialah tercetusnya Perang Bu’ath yang mengorbankan banyak jiwa. Perbalahan antara mereka telah melemahkan ekonomi dan politik sehinggakan kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas mereka.
                Aus dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk menyelesaikan pertelagahan mereka. Pertemuan dengan Nabi Muhammad s.a.w. telah melahirkan Perjanjian Aqabah 1 pada 621M dan Perjanjian Aqabah II pada 622M. Perjanjian Aqabah II telah merintis jalan ke  arah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Madinah. Penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin berasaskan iman, taqwa dan persaudaraan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.  Baginda juga berusaha menyelesaikan isu sosial dan ekonomi Muhajirin. Golongan Ansar telah membantu Muhajirin dengan penuh keikhlasan.  
                Konsep satu ummah yang disebut dalam Piagam Madinah juga diperkukuhkan. Piagam ini mewajibkan setiap umat Islam bekerjasama menegakkan amal kebaikan, mencegah kemungkaran, tidak membiarkan saudara seagama terbeban hutang serta menegah berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi Islam.                          
                Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang unggul dan bijaksana telah berjaya mengembangkan masyarakat Islam sehingga menjadi ummah yang berjaya membentuk negara Islam Madinah. Negara Islam akhirnya mampu menghadapi pelbagai cabaran musuh sama ada dari dalam atau luar negara. Tidak hairanlah jika ramai yang berpendapat bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.  

No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]