Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jan 22, 2013

Pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah

Soalan: Terangkan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Madinah.

Pengenalan
                Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemerintah pertama di negara Islam Madinah. Baginda memerintah berteraskan wahyu Allah SWT selain mengamalkan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal Piagam Madinah. Baginda amat menegaskan perasaan taat setia dalam kalangan umat Islam bagi menggantikan semangat assabiyah dalam kabilah-kabilah.
                Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang sebenar. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menjelaskan perkara-perkara berkaitan umat Islam dan bukan Islam. Piagam ini telah menjadi teras peraturan hidup masyarakat Madinah yang berbilang kaum.
                Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menubuhkan Majlis Syura bagi menggubal dasar pemerintahan negara yang berteraskan al Quran dan Sunnah. Majlis ini dianggotai sebilangan sahabat paling kanan yang pakar dalam bidang tertentu. Baginda juga mengamalkan sistem perundangan yang berteraskan al Quran dan sunnah. Bagindalah hakim yang dilantik pada peringkat suku kaum.             
                Seterusnya baginda membentuk satu dasar diplomatik dengan menjalin hubungan dengan negara luar. Memandangkan wilayah Islam semakin meluas, para ‘amir’ telah dilantik untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, Uthman ibn Abi al-As dilantik sebagai ‘amir’ di Taif.
                Nabi Muhammad s.a.w. juga  membentuk pentadbiran berasaskan empat dasar iaitu mengukuhkan semangat akidah bagi menggantikan semangat assabiyah, menjadikan Islam sebagai landasan peraturan masyarakat, mengamalkan kaedah musyawarah dalam pentadbiran dan memperkenalkan Piagam Madinah. Dasar ini menjadi panduan masyarakat Islam untuk memperoleh kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan.

Penutup
             Kebijaksanaan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membina sebuah masyarakat yang bersatu serta mewujudkan kestabilan politik selain membina negara Islam yang kukuh, aman dan berdaulat.

               

2 comments:

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]