Pengenalan
Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah
di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak
langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik
oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda
terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu
sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke
Madinah.
Isi
Antara
ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu
Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil
dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan
diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela
kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan
penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan
dan digantikan dengan ekonomi Islam.
Seterusnya
baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi
peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam
Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda,
mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000
orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai
nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar
menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh
dalam Perang Khandak.
Selain
itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang
yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah
juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap
ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa
bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan
menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari
bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan
keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk
Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
Baginda
juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha
penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah
walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi
tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat
seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan
oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui
kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam
Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu
dipegang oleh kaum Yahudi.
Nabi
Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik
hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan
ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang.
Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak,
melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan
baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa
dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al
Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh
baginda.
Penutup
Ciri-ciri
kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam
dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati
sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.
assalamualaikum.. adakah ini mengikut contoh-contoh yang ada di dalam buku rujukan?? mf bertanya just nak tahu?
ReplyDeleteRafidah, ya...diolah drp bberapa sumber rujukan.
ReplyDelete