Abu Abd Allah
Muhammad Ibn Musa al Khwarizmi merupakan nama sebenar al Khwarizmi. Beliau
merupakan tokoh ilmuan Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah,
lojik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan serta sejarah Islam. Sumbangan
beliau mula terserlah semasa pemerintahan Khalifah al Makmun di Baghdad khasnya
dalam bidang matematik dan dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja.
Kepakaran beliau
dalam bidang matematik mendapat pengiktirafan Khalifah Abasiyyah. Khalifah
Harun al Rasyid misalnya melantik beliau sebagai pakar matematik di Baitul
Hikmah. Beliau juga dilantik sebagai Pengarah Arkib Buku di perpustakaan istana
oleh Khalifah al Makmun.
Beliau juga telah
memperkenalkan sistem nombor. Simbol-simbol tertentu digunakan untuk mewakili
nilai-nilai tertentu. Al Khwarizmi merupakan orang pertama memperkenalkan angka
sifar (kosong) dalam matematik. Melalui angka sifar akan terbit nombor yang
mencapai infiniti.
Seterusnya beliau
memperkenalkan sistem angka yang sistematik. Sistem ini membolehkan operasi
pengiraan matematik diperluas meliputi operasi kuasa, log dan kosinus. Sistem
ini juga membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang pesat. Angka sifar yang
beliau perkenalkan telah dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan
‘cifre’, ‘chiffre’ dan ‘zero’.
Al Khwarizmi turut
memperkenalkan sistem al-jabar (algebra). Penggunaan symbol yang mewakili
nombor, nilai atau pembolehubahmembolehkan banyak masalah pengiraan
diselesaikan. Buku yang memperkenal kaedah aritmetik algebra ini telah
diterjemah ke bahasa Latin dan menjadi rujukan pelbagai universiti di Eropah
mulai abad ke12M hinggan abad ke16M.
Selain itu, beliau
juga telah memperkenalkan istilah baru dalam ilmu matematik yang digunapakai
hingga ke hari ini. Antaranya ialah pemboleh ubah (x), pemboleh ubah kuasa dua
(x²) dan pemalar (c). Kitab yang beliau hasilkan mengandungi bab-bab tentang
pelbagai topic seperti pengiraan darab, campur, tolak, bahagi, persamaan,
timbangan dan ukuran, luas bulatan dan segi tiga serta isi padu piramid
dan kon.
Al Khwarizmi juga
telah menghasilkan ‘al Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah’
yang digunakan dalam urusan pengiraan pembahagian harta pusaka. Masalah
pengiraan yang rumit dan kompleks yang tidak dihurai dalam al Quran dan hadis
dapat diselesaikan dengan mudah.
Memang tidak dapat
dinafikan Al Khwarizmi memberi sumbangan besar dalam bidang matematik.
Sumbangan besar ini menyebabkan beliau bukan sahaja disanjung oleh umat Islam
sahaja malah juga dikagumi sarjana-sarjana Barat yang menggunapakai idea-idea
beliau.