Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jan 6, 2013

Struktur Masyarakat Jahiliah

Soalan 2: Bincangkan  struktur masyarakat jahiliah

Pengenalan:
          Zaman jahiliah berlangsung selama kira-kira 300 tahun di Semenanjung Tanah Arab. Zaman ini bermula setelah runtuhnya Empangan Maarib dalam kerajaan Saba’ pada sekitar tahun 300M dan berakhir setelah turunnya al Quran serta  Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul pada tahun 610M.

Isi:
          Struktur sosial  masyarakat jahiliah adalah berasaskan sistem kabilah. Kabilah terbentuk daripada beberapa keluarga yang membentuk ihai, beberapa ihai bergabung membentuk kaum dan beberapa kaum bergabung mewujudkan kabilah. Dari segi akhlak, masyarakat jahiliah sangat rendah moralnya. Kaum wanita dipandang rendah sehingga amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup menjadi kebiasaan. Kaum wanita dianggap sebagai pembawa sial dan hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu. Golongan hamba pula dianggap golongan bawahan dan dijadikan sebagai barang dagangan. Walau bagaimanapun, terdapat juga sifat positif yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah iaitu pemurah, berani, menghormati tetamu dan berpegang teguh kepada janji.
          Dari aspek politik pula, masyarakat jahiliah tidak mempunyai struktur politik yang sistematik. Masyarakat jahiliah hidup berasaskan kabilah.  Setiap kabilah diketuai oleh seorang syeikh iaitu individu yang sangat dihormati. Walaupun mempunyai ketua tetapi setiap keputusan bergantung kepada ketetapan bersama. Kabilah-kabilah ini kental dengan semangat asabiyah iaitu sikap kesukuan dan bermegah dengan kabilahnya. Semangat asabiyah ini kerap menimbulkan persengketaan dan peperangan antara kabilah.
          Dalam bidang ekonomi pula, kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan menjadi sumber utama. Kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan oleh masyarakat  Arab Badwi yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat kerana cara hidup berpindah-randah yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi. Masyarakat Arab Hadari yang majoritinya tinggal di kawasan bandar terlibat dengan ekonomi perdagangan. Perdagangan dijalankan secara sistem barter. Amalan riba dan penipuan berlaku secara meluas.
          Dari aspek agama dan kepercayaan, masyarakat jahiliah mengamalkan pelbagai jenis agama dan kepercayaan. Sebahagian besar daripada masyarakat jahiliah  mengamalkan agama Wathani iaitu menyembah berhala. Antara berhala yang terkenal ialah al-Uzza, al-Lata dan al-Manat yang dianggap mempunyai kuasa. Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang menganut agama Kristian dan Yahudi. Walau bagaimanapun, agama Kristianyang diturunkan bersama kitab suci Injil telah diselewengkan. Masyarakat jahiliah turut menganut agama seperti Majusi, Hanif  sereta mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat seperti memuja kubur, pokok bukit dan sebagainya.
          Dari aspek ilmu pengetahuan pula, masyarakat  jahiliah dianggap masyarakat yang tidak memiliki ilmu pengetahuan tinggi. Hal ini dibuktikan melalui kegagalan mereka mendirikan semula Empangan Maarib yang telah pecah. Selain itu, bilangan masyarakat jahiliah yang celik huruf amat sedikit iaitu seramai 17 orang sahaja. Ilmu hanya disampaikan secara lisan dan hafalan. Oleh itu, ilmu akan hilang apabila penghafal tersebut meninggal dunia. Walau bagaimanapun, masyarakat jahiliah berpengetahuan dalam bidang kesusasteraan. Mereka mahir bersajak, bersyair dan berkhutbah. Labid dan Tarafa merupakan antara tokoh sastera yang terkenal.
Kesimpulan:
          Secara umumnya, zaman jahiliah merupakan zaman kegelapan dalam masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini ditandai kemunduran yang dialami oleh masyarakat Arab sama ada dari segi sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu pengetahuan.

8 comments:

  1. nak tanya..macam mana pulak zaman jahiliyah sebelum kedatangan islam , sebelum kelahiran nabi dan semasa kelahiran nabi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nur Farziana: zaman jahiliah merujuk kpd zaman sebelum kdtgan Islam. Nabi Muhammad mmg lahir smasa zmn jhliah (NM mnerima wahyu pertama ktika umur 40 thn). Keadaan msy jhliah sblm dan smasa klahiran NM boleh rujuk nota atau esei bkaitan yg sudah saya post.

      Delete
  2. nak tanya..apa bezanya ciri masyarakat jahiliah dengan struktur masyarakat jahiliah??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sha: Menurut pemahaman saya, ia tidak ada bezanya. sebagai contoh, ciri masy jahiliah boleh dipecahkan kepada ciri politik, sosial dan ekonomi. Begitu juga dengan struktur masy jahiliah, ia boleh dihuraikan kepada politik, sosial dan ekonomi.. W/bgmanapun, perlu baca kehendak soalan dengan teliti.

      Delete
  3. blog ni sgt2 mbantu..time ksh :)

    ReplyDelete
  4. Tumpang tanya,blh tak letak isi masy hadhari and badwi?

    ReplyDelete

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]