Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jan 6, 2013

Esei Agama dan Kepercayaan Masyarakat Jahiliah

Soalan 1: Huraikan tentang agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah.
 
         Masyarakat jahiliah secara umumnya merujuk kepada yang bodoh dan sesat. Mereka hidup tanpa sebarang pedoman kerana tiada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai panduan. Mereka mengamalkan pelbagai agama dan juga kepercayaan.
         Agama paling dominan dianuti masyarakat jahiliah ketika itu ialah agama Wathani atau lebih dikenali sebagai agama menyembah berhala.  Berhala yang diperbuat daripada batu, kayu dan logam itu mempunyai pelbagai bentuk dan rupa. Berhala-berhala ini dikatakan mempunyai kuasa termasuk kuasa penyembuhan. Pada ketika itu, dikatakan terdapat kira-kira 360 buah berhala disusun dengan kemas di sekeliling kaabah. Antara berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Uzza dan al-Manat.

         Agama yang turut dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Nasrani atau Kristian yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Para penganutnya berpegang kepada ajaran kitab Injil. Walau bagaimanapun, isi kandungan kitab ini telah diubahsuai oleh segelintir penganutnya untuk kepentingan peribadi. Mereka yang masih mengamalkan ajaran asal digelar Ahl al Kitab.

          Masyarakat jahiliah juga menganuti agama Majusi yang berasal dari Parsi. Para penganutnya tidak mempunyai kitab suci malah tidak mengakui nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Mereka percayakan dua tuhan iaitu tuhan baik dan tuhan jahat selain menyembah api. Api dipercayai berfungsi sebagai penerang dan pemusnah.

          Agama seterusnya dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Para penganutnya dipanggil Hunafa yang beriman kepada Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan salah seorang penganut agama ini.

          Agama Yahudi juga dianuti masyarakat jahiliah khasnya Bani Israel. Agama ini dibawa oleh Nabi Musa a.s. bersama kitab Taurat. Walau bagaimanapun, seperti agama Nasrani, kandungan asal kitab ini telah diubahsuai oleh penganutnya untuk kepentingan sendiri.

          Selain daripada agama, masyarakat jahiliah juga mengamalkan kepercayaan animisme dan kepercayaan karut atau tahyul. Mereka menyembah objek-objek alam sekitar seperti batu, pokok dan api yang dipercayai boleh membantu mereka dalam kehidupan seharian. Kepercayaan terakhir yang diamalkan masyarakat ini ialah kepercayaan tahyul atau karut. Mereka menilik nasib, percayakan roh orang mati akan menjadi burung serta percayakan ahli nujum, tangkal dan azimat.

          Mereka juga menyembah alam cakerawala dengan memuja matahari, bintang dan bulan. Matahari dipuja ketika siang manakala bulan disembah pada waktu malam. Matahari dipercayai boleh membantu tumbesaran tumbuh-tumbuhan agar dapat menjadi sumber makanan binatang ternakan. Selain itu, masyarakat jahiliah turut mengamalkan ajaran sihir. Mereka percaya  kewujudan jin dan dewa. Mereka menyembah malaikat lelaki dan malaikat perempuan. Selain itu, terdapat segelintir masyarakat ini menyembah Tuhan Padang Pasir.
          Masyarakat jahiliah akan percaya dan menyembah sebarang perkara atau bentuk yang boleh membawa keuntungan. Oleh yang demikian, mereka sanggup menyembah pelbagai bentuk tuhan termasuklah alam semulajadi yang dianggap boleh mendatangkan kebaikan kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]