Sekalung tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya ditawarkan masuk ke T6Rendah. Daripada puluhan ribu calon SPM, anda antara kelompok kecil yang terpilih. Betapa HEBAT dan BERTUAHNYA anda! Tak gitu? Jadi, jangan sia-siakan peluang yang sudah terbentang di depan mata...
Pengalaman menyambut kehadiran warga baru Pra-U SEMEKAR, membuatkan saya terkesan & terfikir beberapa perkara. Antaranya, masih ramai pelajar yang tidak berminat menyambung pengajian ke T6Rendah. Hal ini dapat dibuktikan dengan jumlah yang hadir mendaftarkan diri amat kurang memberangsangkan. Sungguh mengecewakan.
Bila dirisik-risik, rupa-rupanya ramai yang lebih tertarik dengan tawaran daripada kolej. Alasannya, masuk ke kolej lebih 'hebat' berbanding masuk ke Tingkatan 6. Belajar di kolej lebih standard kerana lebih bebas [tidak terikat dengan peraturan yang ketat] selain kemudahan pembelajaran & tempat tinggal lebih lengkap dan canggih.
'Kelebihan' yang ditawarkan kolej inilah yang banyak mengelabui mata sesetengah orang sehingga terlupa perkara yang lebih penting.
i. Tempoh belajar setahun setengah di T6 adalah setaraf dengan diploma. Pengajian di kolej biasanya mengambil masa selama 3 tahun untuk menamatkan pengajian di peringkat diploma.
ii. Pelajar yang masuk ke T6 hanya memerlukan masa setahun setengah sebelum melangkah masuk ke menara gading berbanding 3 tahun yang diperlukan oleh penuntut kolej.
iii. Kos belajar di T6 jauh lebih murah berbanding kos pengajian di kolej.
iv. Terdapat kolej yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.
v. Tempoh pengajian selama setahun setengah di T6 merupakan tempoh mematang dan mempersiapkan diri dan minda yang sangat penting serta berbaloi sebelum melangkah ke IPTA.
Terdapat juga kes pelajar enggan mendaftar ke T6 kerana sudah memohon masuk ke IPTA. Hal ini amat menyedihkan kerana permohonan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA belum ada hitam putih. Alangkah eloknya jika mereka melaporkan diri masuk k T6 terlebih dahulu sementara menunggu tawaran ke universiti berjaya. Bila permohonan berjaya, mereka boleh 'meninggalkan' T6. Bayangkan jika, permohonan ke IPTA tidak berjaya dan anda juga tidak mendaftar ke T6. Bukankah ia amat merugikan, ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Tidak kurang juga terdapat segelintir pelajar yang sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke T6 gara-gara sudah mendapat kerja [kerja part time @ sementara @ bukan kerja tetap]. Rasa seronok mendapat gaji dan memegang duit sendiri membuatkan sesetengah pelajar lupa bahawa peluang di depan sana lebih besar dan lumayan imbuhannya.
Kepada anda yang berjiwa kental dan berani mengharungi hidup sebagai pelajar pra-u, saya ucapkan SYABAS! Saya percaya, anda boleh lakukan yang terbaik. Teguhkan disiplin diri, tetapkan sasaran dan impian, berusahalah dengan gigih, nescaya anda akan berjaya. Kejayaan adalah hak mereka yang berusaha.
No comments:
Post a Comment