Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jul 6, 2012

Kembara Diri: Part 1

Teringat-ingat...
1986: Saat itu, aku baru menginjak kaki ke darjah 4. Hingusan lagi hehe. Pada waktu itu, aku malas sangat turun ke sekolah. Tidak betah rasanya meninggalkan rumah panjang dan bermalam di sekolah [sekolah asrama, pelajar hanya dibenarkan balik ke kampung sekali dalam tempoh dua minggu].

Jenuh ayah dan ibu memujuk tapi aku tetap berdegil. Sehingga sampai satu ketika, aku sudah pandai berbohong dan mereka-reka alasan untuk tidak turun ke sekolah. Sakit perutlah, pening kepala dan pelbagai alasan yang aku berikan sehingga ayah sudah tidak mempu bersabar lagi. Kesabaran ayah benar-benar tercabar. Belum ada lagi dalam kalangan kami 6 beradik yang paling bermasalah turun kr sekolah.

Dek jenuh dengan sikapku, ayah sendiri menghantar aku ke sekolah. Langsung bertemu guru di bilik guru. Habis disoal selidiknya dari guru-guru kenapa aku tidak mahu turun ke sekolah. Adakah aku telah membuat onar di sekolah? Ada tak aku ni bergaduh dengan rakan-rakan? Dan bermacam-macam lagi soalannya.

Guru-guru menjelaskan aku memang tidak ada masalah di sekolah. Dan sememangnya aku boleh dikategorikan sebagai budak baik di sekolah sebab tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Masalah utama sekarang ialah, aku memang tidak betah bermalam di sekolah, berjauhan pula dari rumah [lebih kurang 30 minit berjalan kaki. Masa tu, mana ada jalan raya].

Berminggu juga aku tidak bersekolah. Ayah dah hilang punca. Apa taknya, dah berapa kali rotan singgah di punggungku tetapi aku masih berkeras enggan bersekolah. Ibu pula banyak menasihatiku secara lembut.

Entah di mana ayah mendapat ikhtiar, aku sendiri tidak tahu [maklumlah budak lagi]. Dipujuknya aku secara psikologi. Dia berjanji akan membelikan televisyen jika aku bersekolah semula. Termakan dek pujukan ayah, akhirnya aku 'menyambung semula' pengajianku yang sudah tertangguh. Hehe... Janji ayah membelikan tv [tv hitam putih jer dan merupakan tv pertama kami] membuatkan aku bersemangat turun ke sekolah.

Bila diingat-ingat, lucu ada, sayupun ada. Kalau bukan kerana kesungguhan ayah dan ibu, pasti aku tidak berjaya seperti sekarang. Terima kasih ayah, terima kasih ibu. Ayah... walaupun kau sudah tidak ada lagi, segala pengorbanan, kasih sayang dan nasihatmu tetap diingat selalu. Buat ibu, akanku bahagiakan dirimu semampu ku.

Aman Takeshi: Sayangi dan bahagiakanlah kedua-dua orang tuamu semasa hayat mereka. Tiada kasih setulus kasih mereka dan tiada pengorbanan sebesar pengorbanan ayah dan bonda.

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]