Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Pahlawan Negara: Kanang anak Langkau

KANANG ANAK LANGKAU - PAHLAWAN NEGARA
Wednesday, August 22, 2007

Agustine, Evelyn, Merylin, Puline, Judith dan Langge, saya amat berbangga dapat bertemu dengan ayah saudara-saudari, Kanang anak Langkau di Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Melaka pada 17 Ogos lalu.

Saya yakin anda semua juga berbangga mempunyai seorang bapa yang dihormati kerana darah kepahlawanannya terbilang dalam mempertahankan bumi bertuah ini. Ibu anda, Helen Latai Ini, pasti beruntung memiliki suami yang keberaniannya amat luar biasa. Tidak hairanlah kerajaan memberikan dua anugerah kepahlawanan tertinggi negara iaitu PGB dan SP kepadanya. Mengikut Kanang beliau adalah satu-satunya pahlawan negara yang mendapat dua anugerah itu yang diberikan kepada anggota pasukan keselamatan yang terbilang.

Kanang dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1980 dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 1981 kerana jasanya mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 25 tahun.

Bermula sebagai Iban tracker pada 1961, Kanang yang dilahirkan pada 1945, melalui pelbagai pengalaman dalam Sarawak Renjer (1963), Satu Renjer (1965), Lapan Renjer (1973) dan berhenti pada Jun 1985 sebagai Pegawai Waran 1 (PW1).  Anak kelahiran Simanggang, Sarawak ini juga pernah ditempatkan di Satu Infantri di Changi, Singapura; Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor; First Royal Queen Guard Regiment di Melaka, First Royal New Zealand dan pasukan Komando di Sungai Udang, Melaka.

Namun pengalaman yang tidak dilupakan ialah bertugas di Perak di Pos Legam dan Pos Yom menentang komunis. Menurutnya, enam komunis berjaya ditumpaskan dalam gerakan yang kemas dan teratur di Perak. Dalam kejadian di Kinta beliau hampir-hampir terkorban akibat serangan daripada komunis. Beliau yang ditembak tiga kali tetap berdiri gagah membantu rakan yang cedera parah. Parut di sebelah kiri perut akan menjadi tanda ingatan dan kenangan dengan pembabitannya menghapus komunis di negara ini.

Setelah bersara, Kanang dijemput untuk memberi ceramah di pelbagai tempat terutamanya sekolah, institusi pengajian tinggi dan institusi latihan belia mengenai usaha pejuang negara memerdekakan negara ini daripada ancaman komunis.

Baginya, generasi sekarang amat beruntung kerana dapat menikmati kemerdekaan daripada usaha gigih pejuang veteran yang berjuang bermati-matian bagi memastikan negara ini terus merdeka daripada anasir dalam dan luar negara. Menurutnya, generasi sekarang seharusnya bersyukur dengan kestabilan politik dan ekonomi yang membolehkan mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Yang menghairankan, katanya, ada anak muda yang malas belajar walaupun pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Kanang yang kini menetap di Sri Aman, Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memberi kedua-dua anugerah itu ketika Pak Lah menjadi Menteri Pertahanan. Menurutnya, rakyat negara ini harus memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan cemerlang.
sumber: http://duniatiger.blogspot.com/2007/08/kanang-anak-langkau-pahlawan-negara.html

Temenggong Kanang Anak Langkau Dianugerah Gelaran Datuk


Ahad, September 25, 2011
KUCHING – Temenggong Kanang anak Langkau, 67 tahun, merupakan antara mereka yang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak “Panglima Gemilang Bintang Kenyalang” yang membawa gelaran “Datuk” daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini.
Kanang berkata penganugerahan itu merupakan satu penghormatan kepada seorang pegawai rendah tentera sepertinya.
 
“Ia bukannya satu penganugerahan untuk diri sendiri sebaliknya untuk seluruh pegawai rendah seperti saya yang sanggup berjuang dan berkorban untuk negara,” katanya ketika ditemui Bernama selepas istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran sempena sambutan ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kanang berkata beliau terharu dengan pengurniaan itu dan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri serta rakan-rakan seperjuangan lain yang telah sama-sama berjuang dan berkorban untuk mempertahankan serta menjaga keselamatan negara.
Kanang yang menerima pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa daripada Yang di-Pertuan Agong pada Jun 1981, mula berkhidmat dalam Sarawak Ranger sebagai Iban Tracker pada 1962 dan jawatan terakhirnya dalam Angkatan Tentera Malaysia ialah sebagai Pegawai Waran 1 sebelum bersara pada 1986.
Pada istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran itu, Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nasar, yang menerima darjah Bintang Kenyalang Sarawak dengan gelaran “Datuk Amar” mendahului senarai 909 penerima pingat dan darjah kebesaran negeri.
Selain Kanang, turut menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Bintang Kenyalang yang membawa gelaran “Datuk” ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah; Menteri Muda Kemudahan Awam Syelvester Entri Muran; Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Naroden Majais; Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Mong Dagang; ADUN Tarat Roland Sagah Wee Inn; Mej Jen Datuk Mazelan Kasap dan Brig Jen Stephen Mundaw.
Dua orang menerima darjah Jasa Bakti Sarawak yang membawa gelaran “Datu” iaitu Pengarah Perbendaharaan Persekutuan Sarawak Jabidah Monseri dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Mahamed Ali Mohd Sheriff.
Seramai 13 lagi menerima darjah Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran “Dato” iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Rhodzariah Bujang; Rektor Universiti Teknologi Mara Sarawak Prof Dr Jamil Hamali; Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas Mohammad Medan Abdullah; Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak Datin Janet Lau Ung Mie; pakar bedah kardiotorasik Pusat Perubatan Pakar Normah Dr Liew Wee Lik; Presiden Persatuan Melanau Miri Alexander Maiyor; Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Mohamad Sais Ahmad; Presiden Persatuan Melayu Miri Wan Morshidi Tuanku Abdul Rahman; bekas ADUN Lambir Usop Wahap@Sani Wahap; Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa Sdn Bhd Abang Jemat Abang Bujang; bekas Pengarah Penjara Sarawak Abang Talhata Abang Hazemi; ahli perniagaan Koh Yaw Hui dan Datin Rugayah Abdul Majid.
Naib Presiden dan juga Pengarah Urusan Hitachi Global Storage Technologies Seyed Ali Dabier Moghaddam menerima darjah Panglima Setia Bintang Kenyalang Sarawak-Kehormat yang turut membawa kepada gelaran “Dato”. – BERNAMA
Sumber: namaberita.com

Kanang penerima tunggal kedua-dua pingat

TANGGAL 23 September lalu menjadi hari yang sungguh bermakna kepada bekas Pegawai Waran 1, Kanang Anak Langkau selepas dianugerahkan pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) sempena ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri Sarawak. Ia juga menjadi anugerah dan pengiktirafan ketiga diperoleh beliau bagi mengenang jasanya bergelar tentera dalam memerangi komunis, musuh nombor satu negara, satu ketika dulu.
Barangkali ramai tidak tahu, Kanang yang baru kini bergelar Datuk adalah satu-satunya penerima anugerah tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) yang masih hidup, selain penerima tunggal kedua-dua anugerah berkenaan.

Sebagai renjer yang terkenal dengan moto ‘Agi Idup Agi Ngalaban’ (berjuang selagi masih hidup) Kanang diingati sebagai perwira negara yang unggul dan tidak takut mati demi mempertahankan negara daripada ancaman komunis, selain terbabit dalam konfrontasi dan kekacauan di Brunei ketika berkhidmat dengan Tentera Britain.
Mengimbas sedikit latar belakang wira negara ini, Kanang mula berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bertugas di perbatasan untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh, khususnya komunis, sejak awal 1960-an.
Berasal dari Kampung Melaun, Julau, Sarawak, beliau yang dilahirkan pada 2 Jun 1940 dan mempunyai kepakaran meneroka dan memburu di hutan, menganggotai ATM pada 1961 sebagai Iban ‘tracker’.

Pada awal 1962, beliau menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor selama tiga bulan sebelum berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor. Pada 1963, apabila Presiden Sukarno (ketika itu) melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan tentera Indonesia.

Beliau juga pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan ‘trackers’ profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment ATM.

Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketuai Kapt Johnson anak Meling dibantu oleh Kanang (ketika itu berpangkat Sarjan) ditugaskan ke kawasan tanah hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD beberapa hari sebelumnya. Inilah peristiwa bersejarah dalam hidup Kanang bergelar tentera dan keberanian beliau dalam memerangi komunis ketika itu sungguh membanggakan.

Pada mula operasi itu, Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. Namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh. Selepas serangan itu, beliau bergelut untuk meneruskan hidup dan terpaksa ditahan di hospital selama 14 bulan.

Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya, Kanang dianugerah Pingat SP pada 3 Jun 1981. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1987. Selepas berkhidmat dan menabur jasa kepada negara lebih 21 tahun, PW1 Kanang Anak Langkau bersara daripada ATM pada 30 Mei 1986. Beliau kini menetap di tanah tumpah darahnya di Sarawak dan meneruskan kehidupan sebagai orang biasa dengan berbakti kepada tanah di bumi Kenyalang.
Kanang cerita seorang pahlawan
Sinopsis Novel ini mengisahkan kehidupan seorang perajurit, iaitu Kanang anak Langkau. Kanang yang berbangsa Iban dan beragama Pagan dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Karangan Manok Nanga Meluan, Sarawak. Dia merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan dia telah dihalau dari rumah kerana terlalu nakal. Kemudian, dia dipelihara oleh datuk dan neneknya.

Kanang bersekolah hingga Darjah Tiga di “Local Authority”. Selepas itu, dia melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukangm masak, penoreh getah, dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin. Seterusnya pada 21 April 1960, dia telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi tentera sebagai Iban Tracker.

Kanang berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Ranger dan seterusnya dilantik sebagai eskut. Pada 1 Januari 1966, dia dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal. Pada bulan Mac 1973, dia berpindah ke kem Terentak Melaka, dia berkhidmat dalam Batalian Kelapan Rejimen Ranger. Di sana, dia dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen. Ketika menyertai Gerakan Pukat, di Hutan Tanah Hitam Perak, dia telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis. Akibat daripada kecederaan tersebut, dia tidak sedarkan diri dan terlandar di wad selama setahun. Banyak orang yang menyangka bahawa Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang.

Pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahi pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis. Pada tahun 1981 pula, Kanang dikurniai bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP). Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda. Pada 1 Mei 1981, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan. Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985. Kanang bersara pada 30 Mei 1986. selepas bersara, dia dianugerahi ‘Bintara Bintang Sarawak’ oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya.

Tema Tema novel Kanang ialah keberanian dan semangat kontal dalam perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan Negara dan semangat cinta akan Negara di kalangan anggota tentera. Ini jelas diperlihatakan melalui watak Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis. Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan Negara. Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, misalnya semasa Gerakan Pukat, Kanang berjuang habis-habisan menentang penggacas komunis. Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis. Namun begitu, dia meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis.


Persoalan Persoalan yang terdapat dalam novel Kanang ialah semangat setia kawan dan sepasukan yang kuat. Sikap saling membantu antara sesame anggota tentera jelas dilihat. Kanang dan anggota tentera yang lain memberi bantuan kepada anggota tentera yang cedera dalam pertempuran dengan pengganas komunis dalam operasi Gerakan Setia 8179. Persoalan lain yang terdapat dalam novel ini ialah keberanian melawan musuh terutamanya pengganas komunis. Anggota tentera sentiasa bersemangat untuk melawan musuh dan mengetepikan keselamatan diri sendiri. Contohnya Kanang dan rakan-rakannya begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh walaupun terpaksa berkorban nyawa. Selain itu, persoalan lain novel ini ialah menyelesaikan masalah dengan bijaksana. Kanang menukarkan pakaian seragamnya dan menyamar sebagai orang awam dengan bertutur dalam bahasa Iban untuk mengelak daripada ditawan oleh tentera Siliwangi. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan juga merupakan persoalan novel ini. Kanang menerima pelbagai anugerah kerana jasa dan pengorbanannya mempertahankan negara. Antaranya pingat yang dianugerahi kepada Kanang oleh kerajaan ialah Pingat Panglima Gagah Berani (1980), Seri Pahlawan Gagah Perkusa (1981) dan Pisau Angkatan Tentera (1982).





Plot Permualan Kanang menghadapi kesusahan hidup kerana ayah dan ibunya berpisah semasa dia kecil. Kanang dipelihara oleh datuk dan neneknya selepas dihalau oleh ibunya kerana terlalu nakal.


Perkembangan Sewaktu remaja, Kanang melakukan pelbagai kerja seperti penoreh getah, tukang masak dan mengangkut penumpang dengan perahu. Kemudian, dia diterima menjadi anggota tentera sebagai Iban Tracker. Dia berkahwin dengan Helen Latia anak Intie.

Perumitan Kanang berjuang menentang tentera Indonesia semasa zaman konfrontasi. Dia turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis di dalam hutan dan berjaya membunuh beberapa orang pengganas komunis.

Klimaks Dalam satu pertempuran dengan pengganas komunis, Kanang mendapat cedera parah dan tidak sedarkan diri. Dia terlantar di hospital selama setahun.

Peleraian Selepas sembuh, Kanang meneruskan perkhidmatannya dalam tentera sehinggalah bersara pada 30 Mei 1986 dengan pangkat Pegawai Wanran I. Kanang sekeluarga hidup dalam keadaan yang sederhana. Selepas bersara Kanang hidup sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun dia bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara.


Watak dan Perwatakan Kanang Anak Langkau Kanang lahir pada 2 Mac 1945 di karangan Manok Nanga Meluan. Dia ialah seorang yang berbangsa Iban dan beragama Pagan. Dia ialah seorang yang nakal semasa kecil sehinggakan dihalau oleh ibunya dan tinggal bersama datuknya. Dia telah belajar di Sekolah Local Authority hingga darjah tiga. Dia telah menjadi tentera secara kebetulan. Semasa dia menghantar dua puluh orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya. Kanang dipelawa oleh seorang anggota tentera British lalu menyertai perbarisan dan menjalani temu duga. Akhirnya, Kanang diterima sebagai Iban Tracker. Selepas itu, Kanang telah berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang ialah seorang yang amat mempercayai mimpi dan menganggapnya sebagai amanat atau maklumat yang boleh dipercayai betul dan berguna. Kanang juga ialah seorang yang berani, dia selalu menjadi peninjan pertama sewaktu melakukan gerakan. Dalam pertempuran, dia bertindak berani dan menembak musuh tanpa mempedulikan nyawanya. Dia seorang yang patuh kepada arahan, majlisnya kerana ditugaskan dalam operasi mencari anggota 1st Loyal New Zealand Army yang hilang. Dia juga seorang yang berdedikasi, berani dan cinta akan negara. Dia telah berjuang menentang tentera Indonesia dan turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis di dalam hutan.


Helan Latai anak Intie Helen ialah isteri Kanang dan dikurniai en
am orang anak. Dia ialah seorang isteri yang penyayang dan mengambil berat terhadap suaminya. Semasa Kanang cedera parah dan terlandar di hospital selama setahun, dia selalu menjaga suaminya di hospital. Dia juaga adalah seorang yang pandai menyesuaikan diri. Setelah dia berkahwin dengan Kanang, dia tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan dia telah sesat semasa pergi pasar, tetapi dia telah berusaha gigih untuk menyesuaikan diri. Dia juga adalah seorang yang lemah semangat kerana dia telah pengsan setelah menerima berita tentang Kanang telah mengalami cedera parah dan terlandar di hospital.

Latar Latar Tempat 1.Pasar Taiping, Perak : Isteri Kanang, Helan telan sesat di pasar Taiping ketika dia mula-mula belajar di pasar akibat malu bertanya kerana dia tidak tahu berbangsa Melayu. 2.Simanggang (Bandar Sri Aman) penghujung tahun 1964, di rumah Panjang Skra Hilir Sarawak : Kanang bersama bapa saudara Helen bertemu kali pertama dengan Helen Latai anak Intie. Kanang dan Helen kemudiannya berkahwin pada 25 Mei 1965 di Simanggang. 3.Rumah Kelamin pegawai di kem Terentak, Melaka : Kanang bertindak nakal. Dia telah mengambil helmet dan meletakkan di muncung senapang dan menyandarkannya ke dinding pos supaya orang menyangka senyri sedang berkawal.

Latar Masa 1.Bulan Mac 1962, pada waktu tengah hari dalam cuaca yang panas :Kanang menghantar dua puluh orang pemuda untuk menghadiri temu duga Iban Trackers. 2.Pada sebelah petang : Kanang bersama pasukan penjejak tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura untuk membantu pasukan 1st Singapura Infantry Regiment. 3.4 Jun 1979 : Kanang sebagan plantun sarjan telah menyenaraikan barang-barang penggarus dan meneruskan penggeladahan di kiri dan kanan sungai Piah.

Latar Masyarakat 1.Iban : Kanang - Rumah Panjang karangan manok ; Helen - Rumah Panjang Skra Hilir (Kaum Iban). 2.Pekerjaan masyarakat : Masyarakat Iban yang menjalankan pertanian seperti menanam padi, menjala ikan dan memburu binatang. 3.Pelbagai agama : Masyarakat Iban yang beragama Pagan.

Gaya Bahasa 1. Simile : saya mula merasakan musuh bermain serak-sorak dengan kani. 2. metafora : barah menembusi baju lorengnya akibat luka di tangannya. 3. Kepitisi : Kalau darahlah yang diperlukan, maka darahlah yang kedapatan. Nilai murni dan Pengajaran

Nilai murni 1. Bertanggungjawab - tanggungjawab sebagai pejuang tanah air amatlah besar dan harus disanjung tinggi. 2. Keberanian - para pejuang tanah air, terutama watak Kanang mempunyai sifat keberanian yang luar biasa dan sanggup mengadaikan nyawa demi orang lain dan negara. 3. Yakin pada diri sendiri - seseorang itu perlu yakin akan apa yang dilakukan dan tidak bertindak membuta tuli. Begitu juga dengan watak Kanang yang sentiasa yakin akan apa yang dilakukannya, terutama ketika bertugas di dalam hutan. 4. Cinta akan negara - negara merupakan tempat kita dilahirkan, tempat perlindungan, dan tempat kita mencari identiti diri. Oleh itu, kita harus berbangga terhadap negara sendiri. 5. Mengambil berat - jangan mengambil mudah dan bersikap sambil lewa terhadap sesuatu perkara yang berlaku. 6. Tabah - ketabahan merupakan perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang, lebih-lebih lagi ketika menghadapi tugas yang amat berat. 7. Berusaha dengan bersungguh-sungguh - jika kita memperoleh sesuatu yang dihajati, kita perlulah berusaha agar apa yang kita lakukan mendapat pengiktirafan daripada seseorang. 8. Bersyukur - setiap manusia perlu bersyukur dan berpuas hati atas sesuatu perkara yang diperoleh. 9. Faham-memahami - sekiranya mempunyai suami yang sentiasa bertugas demi negara, si isteri hendaklah memahami tugas suami itu. 10. Berdisiplin - setiap manusia mempunyai disiplin diri untuk melatih kita agar mempunyai jiwa yang teguh, berperaturan, dan dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

Pengajaran 1. Kita hendaklah sentiasa mencintai tanah air dan berasa bangga tinggal di tanah air yang aman damai ini. 2. Kita harus menyanjungi pengorbanan yang telah dilakukan oleh para perajurit negara dengan berderma kepada tabung pahlawan. 3. Kita tidak harus mudah berputus asa dalam apa jua yang kita lakukan kerana lambat-laun apa yang kita hajati itu akan tercapai akhirnya. 4. Janganlah kita mementingkan diri sendiri, kelak dibenci orang. 5. Sebagai rakyat yang tinggal di negara yang merdeka ini, kita harus bertanggungjawab menjaga keamanan, imej, dan nama baik negara. 6. Kita hendaklah sabar menghadapi dugaan hidup yang datangnya daripada Tuhan. 7. Kita tidak seharusnya berasa takut dalam perjuangan untuk mencapai kejayaan. 8. Kita seharusnya mempunyai semangat nasionalisme yang kuat, berani dan sanggup berkorban demi negara serta mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. 9. Sebagai anggota tentera, kita hendaklah meningkatkan kemahiran dan profesionalisme agar dapat melahirkan satu masyarakat tentera yang bersemangat waja, kuat, dan cekap. 10. Pihak kerajaan, swasta, mahupun orang perseorangan perlulah membantu mana-mana pahlawan yang masih hidup dalam kemiskinan agar mereka turut merasai bahawa pengorbanan mereka dihargai dan mereka dapat hidup senang seperti orang lain juga. Sumber: Wikipedia, ensiklopedia bebas

 





No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]