Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Iban Trackers: Sarjan Mejar (B) Sengalang anak Uyang

Detik pilu kekal dalam ingatan


USIANYA kini 76 tahun, tetapi semangat juang bekas anggota Iban Trackers, Sarjan Mejar (B) Sengalang anak Uyang, masih membara apatah lagi apabila terkenangkan kejadian meragut nyawa rakan sepasukannya, Nyambik anak Pasang, di Sungai Siput, Perak, 53 tahun lalu.

Bagi Sengalang, walaupun peristiwa yang juga hampir meragut nyawanya itu sudah lebih setengah abad berlalu, terlalu sukar untuk melupakannya, malah ia menjadi segar semula dengan kembalinya rangka Nyambik ke tanah kelahirannya 26 Julai lalu selepas sekian lama dikebumikan di perantauan.

Menceritakan detik tragis itu, Sengalang berkata, sebutir peluru senjata komunis yang terkena tepat di dada Nyambik hampir merobek tubuhnya juga.

"Ketika diserang, kami sedang meronda. Nyambik berjalan di sebelah saya, manakala dua lagi termasuk pegawai tentera British yang mengetuai kami iaitu Mejar Bruce Mary, turut sama dalam rondaan di Jalan Jelapang itu berjalan di barisan belakang.

"Ketika kami meninjau keadaan sekeliling, tiba-tiba musuh melepaskan tembakan dan saya terasa peluru melintasi depan saya dan dalam sekelip mata, Nyambik menjerit kerana tembakan itu terkena tepat di dadanya menyebabkan dia rebah dan menghembuskan nafas terakhirnya di depan mata saya," katanya.

Melihat Nyambik sudah terkena tembakan musuh, Senggalang bersama dua lagi rakan termasuk Bruce hilang sabar lalu mengejar pengganas itu dan berjaya menembak mati tiga daripada mereka.

Sengalang berkata, peristiwa 10 Jun 1958 itu detik paling menyayat hati pernah dialaminya ketika menyertai Iban Trackers membantu tentera British bertempur dengan pengganas komunis.

"Peristiwa itu memang cukup memilukan kerana ia membabitkan nyawa rakan baik saya yang datang dari Sarawak, semata-mata untuk berkorban nyawa membantu British menghadapi tentangan bersenjata pengganas komunis di Malaya.

"Selepas Nyambik rebah dan menghembuskan nafas terakhir, kami langsung tidak memikirkan keselamatan diri kerana satu saja matlamat ketika itu, membalas dendam atas kematiannya dan hingga kini, laungan 'Agi Idup Agi Ngelaban' membuatkan saya terus bersemangat untuk berjuang," katanya yang berasal dari Rumah John, Sungai Mujung, Kapit.

Bagaimanapun, situasi berbeza dialami Bala anak Utut, 73, apabila terpisah dengan abangnya Ugap yang terkorban dalam pertempuran di Taiping, Perak pada 28 Januari 1954.

"Apabila keranda kecil terpampang nama abang, saya menangis kerana tidak mampu menahan kesedihan akibat terpisah kira-kira 57 tahun lalu.

"Kami berdua ke Malaya kerana dipanggil membantu tentera British sekitar 1953, tetapi terpaksa pulang bersendirian ke Sarawak kerana abang menemui ajal, setahun kemudian," katanya.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]