Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Feb 23, 2013

Esei Kegiatan Ekonomi Penduduk Melaka

Soalan: Jelaskan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Melaka sebelum abad ke 15M.

            Masyarakat Melayu tradisional di Melaka melakukan pelbagai aktiviti ekonomi sebelum abad ke15M. Pada peringkat awal, mereka bertani, menangkap ikan, menternak binatang dan memburu untuk keperluan sendiri. Keadaan ini mengalami perubahan apabila aktiviti ekonomi perdagangan mula bertapak di Melaka.

            Fasal 20 Undang-Undang Melaka membuktikan aktiviti pertanian dijalankan di Melaka melalui aktiviti perhumaan, bendang, sawah dan ladang. Penanaman padi bermula dengan kemasukan orang Minangkabau. Ekoran tidak mampu menampung keperluan penduduknya yang ramai, Melaka terpaksa mengimport beras dari Siam, Palembang dan Jawa. Selain itu, orang Melaka juga bersawah dan berdusun. Tom Pires pernah menyatakan Sultan Iskandar bersama pengikutnya telah menebas hutan untuk menanam pokok dan membuat dusun tebu, pisang dan nenas.

            Masyarakat Melaka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan dan hasil laut. Ikan merupakan sumber protein yang penting. Sultan Iskandar Syah sendiri pernah menjadi nelayan ketika di Muar. Orang Laut menjalankan aktiviti ini sebelum pemerintahan Parameswara lagi. Antara peralatan yang digunakan ialah perahu daripada kayu bulat yang ditebuk.

             Bagi menampung kehidupan seharian juga, masyarakat Melaka menjalankan kegiatan berburu yang diwarisi termasuklah golongan Raja-Raja Melaka. Rakyat biasa yang tidak berdagang akan memburu binatang untuk menambah sumber pendapatan.

            Kegiatan perdagangan merupakan aktiviti ekonomi yang diwarisi sejak zaman awal Kerajaan Melayu Langkasuka dan Srivijaya. Aktiviti ini dijalankan secara kecil-kecilan dan besar-besaran. Perdagangan kecil-kecilan merujuk kepada rakyat biasa yang berjaja di pasar atau menggunakan perahu kecil. Golongan pembesar pula menjalankan kegiatan perdagangan melalui wakilnya iaitu kiwi. Perdagangan besar-besaran melibatkan urusan jual beli dengan pedagang luar.

             Aktiviti seterusnya yang dijalankan masyarakat Melaka ialah menternak binatang seperti kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik. Bendahara Seri Maharaja Melaka dikatakan pernah menternak binatang seperti kerbau.

            Kegiatan mengumpul hasil hutan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melaka ketika itu kerana mereka amat bergantung kepada persekitaran seperti sungai, hutan dan tanah pertanian.  Antara hasil hutan yang dikumpul ialah rotan, damar dan getah jelutung. Kebetulan, hasil hutan ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar.

             Aktiviti pertukangan kayu, besi dan kraf tangan juga dijalankan masyarakat ini. Pertukangan kayu melibatkan pembinaan rumah, istana dan perahu. Mereka juga membuat senjata daripada besi. Antara barang kraf tangan yang dihasilkan ialah bubu. Tikar mengkuang diperbuat daripada rotan, buluh dan kayu.

            Kehidupan masyarakat Melayu tradisional sama seperti masyarakat awal di tempat lain iaitu amat bergantung kepada persekitaran seperti sungai, hutan dan tanah. Mereka telah mengeksploitasi sumber persekitaran ini untuk menampung keperluan seharian mereka.

No comments:

Post a Comment