Kerabat Semekar Cintaku "Warga Berilmu"

Jul 27, 2012

Perindustrian di Jerman

Pengenalan
Sebelum tahun 1850, perkembangan ekonomi di Jerman berkembang perlahan. Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor berikut;
  1. Negara Jerman belum bersatu
  2. Kekurangan kepakaran & teknologi
  3. Oleh itu Jerman telah memperlajari kepakaran teknologi dan kejuruteraan dari Britain. Ini membolehkan perkembangan pesat jaringan landasan dan pembinaan kereta api di Jerman. Penyatuan Jerman pada tahun 1870 membawa kepada kepesatan ekonomi Jerman.

Perkembangan Perindustrian di Jerman

Revolusi Perindustrian turut melanda Jerman. Revolusi ini meninggalkan kesan kepada Jerman iaitu;
i.Perkembangan sektor perlombongan arang batu dan bijih
Perlombongan arang batu dan bijih besi banyak bertumpu di Saxony dan Silesia. Ciptaan Siemens dan Martin membawa kepada peningkatan pengeluaran keluli.
ii. Perkembangan pesat sektor pembinaan kereta api.
Syarikat Krupp merupakan pelopor pengeluar besi di Jerman. Besi keluaran Jerman dikatakan yang terbaik dan banyak digunakan dalam sektor pembinaan kereta api.
iii. Perkembangan industri kulit.
Perkembangan ini mendorong kepada perubahan hidup masyarakat Jerman ke arah yg lebih mewah.
iv. Perkembangan industri tekstil.
IndustrI tekstil  Jerman berkembang pesat terutama di wilayah Rhineland, Saxony dan Silesia. Kemunculan Berlin sebagai pengeluar mesin meningkatkan lagi industri tekstil.
v. Perkembangan industri kimia & elektrik
Banyak syarikat  di Jerman membangunkan makmal penyelidikan sehingga mampu menghasilkan ciptaan baru. Pada tahun 1900, pewarna sintetik keluaran Jerman telah menguasai pasaran dunia.
Kepesatan ekonomi perindustrian di Jerman menimbulkan 2 kesan iaitu:
  1. Jerman memerlukan pasaran yg lebih luas
  2. Jerman memerlukan bekalan bahan mentah
Oleh itu Otto Von Bismarck telah menjalankan dasar perluasan kuasa. Bismarck kemudian berjaya ;
  1. Menawan Barat daya Afrika, Cameron dan Afrika Timur
  2. Menguasai Papua New Guinea
  3. Membeli Kepulauan Carolina daripada Sepanyol
  4. Menjalin hubungan dagang dengan China
  5. Kejayaan Bismarck berjaya meningkatkan pendapatan negara Jerman. Kekayaan ini digunakan untuk membangunkan negara Jerman terutama dari segi pembangunan jaringan landasan kereta api.

Kesimpulan
Kepesatan ekonomi di Jerman mendorong kepada perkembangan perindustrian di negara tersebut. Banyak kilang dibina dan inovasi baru dicipta di Jerman. Kemajuan yang dikecapi Jerman membolehkannya berjaya menyaingi Britain sebagai negara industri di Eropah.

Jul 15, 2012

Ekonomi Feudalisme di Jepun


Pengenalan
Peta Jepun

          Jepun terdiri daripada 4 buah pulau utama iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan  Kyushu. Negara Jepun merupakan negara beriklim sederhana. Bentuk muka bumi Jepun pula bergunung-ganang.  Hanya 20% sesuai untuk pertanian. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian masih menjadi keutamaan di Jepun pada abad ke-16.
      Bentuk muka bumi yg bergunung-ganang menjadikan orang Jepun menjadi pelaut yang hebat. Oleh yang demikian, selain menjalankan aktiviti pertanian, mereka juga menjalankan aktiviti seperti perdagangan dan perikanan.
      Perdagangan Jepun hanya tertumpu di negara2 Asia Tenggara dan Asia Timur. Hal ini berikutan dasar shogun yang  mengawal golongan daimyo dan juga masyarakat Jepun. Jepun telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa barat tetapi dalam bentuk yang terhad iaitu banyak peraturan dikenakan ke atas pedagang barat.


Kegiatan Ekonomi Feudalisme di Jepun

1.     Pertanian
     Pertanian menyumbang kepada 80% sumber pendapatan ekonomi feudal di Jepun. Tanaman utama petani Jepun ialah padi. Selain itu mereka turut menanam gandum, barli, teh dan kapas.

     Bagi memastikan tanaman mereka subur, petani Jepun menggunakan sistem pengairan semula jadi.Kelebihan sistem pengairan semula jadi ialah;
                        i.            Air sungai mengandungi nutrien untuk padi.
                       ii.            Mengurangkan penggunaan baja.
                      iii.            Memelihara kesuburan tanah tanpa perlu direhatkan.

     Walau bagaimanapun, petani-petani di Jepun menghadapi dua masalah utama iaitu;
                      i.            Iklim sederhana tidak membolehkan padi ditanam untuk tempoh yg panjang. Mereka hanya dapat menanam padi sekali setahun iaitu antara musim bunga dengan musim luruh.
                     ii.            Mereka juga menghadapi masalah kekurangan tanah ekoran bentuk muka bumi yang begunung-ganang. Petani Jepun bagaimanapun mengatasi masalah ini dengan penggunaan sawah bertingkat. 

2.     Perusahaan Tempatan
      Perusahaan tempatan di Jepun bercorak pengeluaran berasaskan daerah dan juga pemasaran antara daerah. Setiap daerah mempunyai hasil keluaran masing2.
     Sebagai contoh;
                    i.            Kinai: pusat pengeluaran kain kapas.
                   ii.            Fukushima & Yamanashi: pusat pengeluaran ulat sutera & alat tenunan.
                   iii.            Satsuma: pusat pengeluaran gula.

          Perusahaan tempatan berkembang kepada aktiviti perdagangan yg lebih besar.
Pasar-pasar kecil kemudiannya berkembangan menjadi bandar perdagangan. Pusat2 pertukaran wang, kedai2 beras dan sake berkembang menjadi  bandar dan wilayah, contohnya Kunwana, Sakai, Ise dan   Hakata. Pusat pengeluaran dan pembuatan kertas, barangan logam, tenunan dan tembikar turut berkembang maju. Bandar Seto menjadi pusat pengeluaran tembikar.

3.     Perikanan
     Sesuai dengan geografinya yang dikelilingi laut, kegiatan perikanan turut berkembang. Kedudukan Jepun yang terletak di persimpangan arus panas dan arus sejuk menjadikan perairan Jepun kaya dengan ikan.

4.     Perlombongan
     Jepun kaya dengan galian seperti emas, perak dan tembaga. Semasa       pemerintahan Oda Nobunaga, pengeluaran galian ini bertambah rancak. Perkembangan perindustrian ini membawa kepada perkembangan bandar Osaka.

5.     Perdagangan
     Perdagangan luar Jepun berkembang pesat pada abad ke-16. China menjadi rakan dagang terpenting Jepun. Jepun mengimport barangan tropika dari China. Barangan tropika ini diperolehi oleh China hasil perdagangan dengan negara Asia Tenggara dan India. Jepun turut mengimport sutera, porselin, buku, lukisan dan barangan tembaga. Selain itu, Jepun turut mengimport bahan mentah seperti sulfur, papan, emas, merkuri dan ibu mutiara dari China.

          Dalam masa yang sama Jepun mengeksport hasil keluaran mereka seperti   pedang, kipas berlipat, pemidang yg mendapat permintaan tinggi di China.

Pada abad ke-15, Jepun telah mendominasi perkapalan dan perdagangan di seluruh Lautan China Timur sehingga mengisytiharkan diri sebagai pedagang dan penjelajah bandar2 di Asia Tenggara.
Jepun turut mengadakan hubungan perdagangan dengan Portugal. Sekitar tahun 1550-an, ramai pedagang Portugal memasuki Jepun. Pedagang Portugal turut membawa masuk teknologi barat seperti teknologi perkapalan, teknik perang, agama Kristian dan persenjataan.  Pada tahun 1570, Shogun Ashikaga memeterai perjanjian dengan Portugal bagi membolehkan pedagang Portugal berdagang di Nagasaki. Perdagangan berkembang pesat sehingga Nagasaki menjadi pintu keluar bagi perdagangan Jepun ke luar negara.

Info Tambahan
Perkembangan ekonomi feudal di Jepun telah mencetuskan dua kesan iaitu;
i. Kewujudan organisasi atau persatuan / za.
     Za mengawal dan memonopoli pengeluaran serta pemasaran barangan sehinggalah pemerintah Nobunaga memecahkan monopoli tersebut [selepas itu perdagangan berkembangan pesat tanpa sekatan].

ii. Perkembangan bandar2.
     Sebagai contoh Kyoto iaitu ibu kota diraja kuno telah berkembang menjadi pusat ekonomi dan pengeluaran barangan kraftangan.

Jul 14, 2012

Putera Puteri Semekar

 Tingkatan Enam Atas Geografi / Sastera
Tingkatan Enam Atas Ekonomi / Seni

 Tingkatan Enam Bawah Geografi / Sastera

Tingkatan Enam Bawah Ekonomi / Seni

Kembara Diri Part 2

Teringat-ingat...

Semasa di sekolah rendah, rutin harian bagi pelajar Darjah 1 dan Darjah 2 ialah mengutip sampah di seluruh kawasan sekolah. Pelajar yang belajar di Darjah 3 dan ke atas pula ditugaskan untuk menebas rumput dan mencuci tandas termasuklah tandas pelajar dan tandas kakitangan sekolah. Waktu tu, mana ada tukang kebun atau tukang cuci seperti sekarang. Semuanya dilakukan oleh para pelajar dengan pemantauan guru. Rutin ini dijalankan 2 kali sehari iaitu sebelum mandi pagi [sebeluml waktu sarapan] dan di sebelah petangnya pukul 3.00 - 4.00.

Hari pertama melangkah masuk ke Darjah 3, aku memang gabra habis. Maklumlah, rutin harian dah bertukar kepada tugas yang lebih mencabar iaitu menebas rumput. Aku ni manalah pakar sangat dalam selok-belok menebas rumput ni apatah lagi nak mengasah parang. Parang pula mesti diasah agar senang untuk menebas dan tangan pun tidak sakit.

Oleh kerana ceteknya tentang ilmu mengasah parang [semua pelajar Darjah 3 dan ke atas mesti membawa parang dari rumah masing2] aku mengambil keputusan untuk membodek salah seorang rakan sekampungku yang lebih tua dari aku. Aku minta bantuannya untuk mengasah parang, sebagai upah aku memberinya sebatang pen biru! Hehe... Bila diingat-ingat, lucu rasanya. Apapun sistem pendidikan yang diamalkan ketika itu benar-benar mampu memupuk pelajar yang berdisiplin dan berdikari.

Jul 11, 2012

Tip Mudah Belajar Sejarah

SUSAH NAK INGAT! PAYAH NAK FAHAM! BOSAN! Itulah stigma / pandangan yang selalu bermain di kepala pelajar bila belajar sejarah.  Tidak kurang, ada pelajar yang mengambil subjek Sejarah kerana terpaksa. Tidak ada pilihan lain! Nak tak nak, kena juga mengadap buku sejarah. Bila dah terpaksa, keseronokan belajar pun hilang. Akhirnya, semua benda pun tak jadi.
Apa kata kalau anda cuba praktikkan amalan berikut untuk memahami sesuatu topik sejarah dengan lebih mudah. Mula-mula mungkin agak sukar, tetapi kalau dah dijadikan amalan tentu segalanya lebih senang. Belajar sejarah bukan lagi menjadi suatu masalah atau bosan.
Tip senang faham & senang ingat: 5W1H
Semasa membaca tentang sesuatu tajuk, cuba senaraikan 5W1H dan catatkan jawapan kepada setiap soalan berikut. [Catatan tidak perlu terlalu panjang , asalkan anda sudah boleh memahami keseluruhan peristiwa tersebut].

Anda perlu biasakan diri untuk menggunakan teknik ini. Haaa… kan belajar sejarah lebih mudah! Selamat mencuba!!!

Jul 6, 2012

Kembara Diri: Part 1

Teringat-ingat...
1986: Saat itu, aku baru menginjak kaki ke darjah 4. Hingusan lagi hehe. Pada waktu itu, aku malas sangat turun ke sekolah. Tidak betah rasanya meninggalkan rumah panjang dan bermalam di sekolah [sekolah asrama, pelajar hanya dibenarkan balik ke kampung sekali dalam tempoh dua minggu].

Jenuh ayah dan ibu memujuk tapi aku tetap berdegil. Sehingga sampai satu ketika, aku sudah pandai berbohong dan mereka-reka alasan untuk tidak turun ke sekolah. Sakit perutlah, pening kepala dan pelbagai alasan yang aku berikan sehingga ayah sudah tidak mempu bersabar lagi. Kesabaran ayah benar-benar tercabar. Belum ada lagi dalam kalangan kami 6 beradik yang paling bermasalah turun kr sekolah.

Dek jenuh dengan sikapku, ayah sendiri menghantar aku ke sekolah. Langsung bertemu guru di bilik guru. Habis disoal selidiknya dari guru-guru kenapa aku tidak mahu turun ke sekolah. Adakah aku telah membuat onar di sekolah? Ada tak aku ni bergaduh dengan rakan-rakan? Dan bermacam-macam lagi soalannya.

Guru-guru menjelaskan aku memang tidak ada masalah di sekolah. Dan sememangnya aku boleh dikategorikan sebagai budak baik di sekolah sebab tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Masalah utama sekarang ialah, aku memang tidak betah bermalam di sekolah, berjauhan pula dari rumah [lebih kurang 30 minit berjalan kaki. Masa tu, mana ada jalan raya].

Berminggu juga aku tidak bersekolah. Ayah dah hilang punca. Apa taknya, dah berapa kali rotan singgah di punggungku tetapi aku masih berkeras enggan bersekolah. Ibu pula banyak menasihatiku secara lembut.

Entah di mana ayah mendapat ikhtiar, aku sendiri tidak tahu [maklumlah budak lagi]. Dipujuknya aku secara psikologi. Dia berjanji akan membelikan televisyen jika aku bersekolah semula. Termakan dek pujukan ayah, akhirnya aku 'menyambung semula' pengajianku yang sudah tertangguh. Hehe... Janji ayah membelikan tv [tv hitam putih jer dan merupakan tv pertama kami] membuatkan aku bersemangat turun ke sekolah.

Bila diingat-ingat, lucu ada, sayupun ada. Kalau bukan kerana kesungguhan ayah dan ibu, pasti aku tidak berjaya seperti sekarang. Terima kasih ayah, terima kasih ibu. Ayah... walaupun kau sudah tidak ada lagi, segala pengorbanan, kasih sayang dan nasihatmu tetap diingat selalu. Buat ibu, akanku bahagiakan dirimu semampu ku.

Aman Takeshi: Sayangi dan bahagiakanlah kedua-dua orang tuamu semasa hayat mereka. Tiada kasih setulus kasih mereka dan tiada pengorbanan sebesar pengorbanan ayah dan bonda.

BERSAMBUNG...

Jul 1, 2012

Nilai Cintamu

Cintamu...
katamu
sedalam lautan biru
pada cinta muka buku
memasang angan di langit ungu

Cintamu...
katamu
seluas angkasa raya
pada seronoknya komputer riba
tidak punya sempadan masa

Cintamu...
katamu
sehebat romeo dan juliet
pada gajet telefon bimbit
tak sanggup berpisah walau seminit

Cintamu...
katamu setinggi langit
pada keseronokan hiburan duniawi
sehingga diri tidak dikenali

Cintamu...
katamu
adalah hak peribadimu
Tak perlu tahu urusanmu
Tak usah diganggu tingkahlakumu

Cintamu...
pintaku
usahlah alpa menyulam rindu
kelak nanti sendu milikmu
kerana cintamu masih keliru
usahlah dirimu terburu nafsu
memburu cinta yang kelabu
cinta sejati pada Yang Satu
cinta mulia pada ilmu!

Raja Mutlak & Raja Berperlembagaan di Perancis

Revolusi Perancis

Pengenalan
Pemerintahan Perancis terletak di tangan Raja, Majlis Diraja dan intendant.


Susun Lapis Masyarakat Perancis

 
1. Raja
Raja berkuasa mutlak sehingga kuasanya mengatasi semua undang2. Sebagai contoh, raja berkuasa memenjarakan individu yg ingkar atau menyakiti hati golongan berpengaruh [tindakan ini dipanggil lettre de cachet].
2. Majlis Diraja
i.                    Dianggotai kerabat diraja yg berpengaruh.
ii.                  Membuat keputusan penting dalam semua bidang.

3. Intendant
Sistem Intendant yang digunakan di peringkat wilayah menguruskan hal pentadbiran dan cukai. Raja sengaja menambahkan bilangan intendant untuk mengurangkan kuasa politik golongan bangsawan.

4. Golongan paderi [clergy]:
Golongan paderi bertugas di gereja Katolik dan institusi dalam pentadbiran agama. Golongan yang menguasai sebahagian besar bidang pendidikan di Perancis ini terbahagi kepada 2 kelompok iaitu;
i.     Bishop: paderi atasan yg diberi keistimewaan termasuk gaji lumayan dan rumah mewah.
ii.   Paderi parisy: paderi bawahan yg berkerja kuat tetapi tidak diberi keistimewaan.

5. Golongan bangsawan
Golongan bangsawan di Perancis dibahagikan kepada dua iaitu;
i.          Bangsawan atasan: memiliki tanah luas dan kaya serta diberi keistimewaan seperti pangkat / jawatan.
ii.         Bangsawan rendah: Mendapat hasil mencukupi dari tanah mereka di luar Bandar. Tidak sekaya bangsawan atasan, kuasa politik pun sedikit.
iii.        Bangsawan bergelar: golongan yg berjasa kepada negara dan tidak memiliki keistimewaan yg dimiliki oleh bangsawan atasan.

6. Golongan bourjois
Golongan ini terdiri daripada masyarakat kelas menengah seperti golongan professional, guru, peguam, pedagang dll. Golongan ini diberikan beberapa keistimewaan seperti;
i.       Pengecualian cukai
ii.      Tidak perlu berkhidmat dalam angkatan tentera.

Walau bagaimanapun, golongan ini tidak berpuas hati kepada pemerintah kerana;
i.       Diskriminasi: tidak berpeluang naik pangkat dalam pegawai tentera
ii.      Diskriminasi: tidak berpeluang berkhidmat dalam pentadbiran.

7. Golongan petani
Golongan petani terbeban dengan pelbagai cukai seperti;
i.      Cukai tanah [taille]
ii.     Cukai harta [vingtieme]
iii.    Cukai garam [gabelle]
iv.    Cukai feudal [menggunakan kilang gandum, dapur & alat pemerah anggur]
v.     Cukai gereja [tithe]

 Parlimen Perancis
Parlimen Perancis terbahagi kepada 3 Estet / blok yg berperanan membincangkan hal atau masalah hal di daerah masing2.
Perubahan Raja Berkuasa Mutlak ke Raja Berperlembagaan Di Perancis
Pada tahun 1787, Raja Louis XVI telah mengadakan Perhimpunan Orang-Orang Kenamaan. Perhimpunan ini bertujuan mengatasi masalah kewangan Perancis. Estet Pertama dan Kedua diberi keistimewaan manakala Estet Ketiga seolah-olah disisihkan.

Estet Ketiga menuntut persamaan hak tetapi tidak diendahkan. Estet Ketiga akhirnya mengisytiharkan diri mereka sebagai Perhimpunan Kebangsaan [Parlimen Negara]. Perisytiharan oleh Estet Ketiga ini menandakan bermulanya Revolusi Perancis.

Antara tuntutan Estet Ketiga: konsep persamaan dan keadian dan keistimewaan bukannya diberikan berdasarkan hak atau warisan. Perjuangan Estet Ketiga mendapat sokongan golongan miskin. Pada 14 Julai 1789 bangunan Bastille jatuh ke tangan pemberontakan. Peristiwa ini menjadi pembakar semangat golongan revolusi di Bandar dan desa.
Perhimpunan Kebangsaan [terdiri daripada Estet Ketiga]  berjaya;
i.                 Menghapuskan sistem feudal
ii.                Menghapuskan perhambaan
iii.               Menghapuskan monopoli  golongan bangsawan
iv.               Menghapuskan buruh paksa
v.                Menarik balik hak istimewa gereja
vi.               Menyamaratakan cukai

Kejayaan Perhimpunan Kebangsaan menghapuskan sistem feudal ditandai dengan Hari Ogos dan satu dikri pemansuhan sistem feudal dikeluarkan;
i.                  Ahli parlimen menyerahkan hak feudal mereka
ii.                 Golongan feudal turut menyerahkan hak mereka
iii.                Golongan paderi menyerahkan hak gereja dan hasil kutipan.
Pada 26 Ogos 1789, Parlimen meluluskan Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara. Antara kandungannya ialah;
i.   Hak kebebasan- harta benda, perlindungan dan tiada penindasan.
ii.  Hak kesamarataan – perbezaan hanya boleh diwujudkan untuk manfaat umum.

Pentadbiran Perancis;
Perancis dibahagikan kepada 83 kawasan [department]. Department pula dibahagi kepada daerah [cantons] dan commune. Kerajaan tempatan dipilih oleh rakyat tempatan dan berkuasa di kawasan masing2.

Pada tahun 1790,  Perlembagaan Sivil Gereja diluluskan. Kandungan perlembagaan tersebut ialah;
i.         Paderi dipilih oleh rakyat
ii.        Paderi diberi gaji
iii.       Paderi mesti mengangkat sumpah taat setia kepada Perlembagaan Awam

Seterusnya pada tahun 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan menyiapkan perlembagaan baru yg berdasarkan teori pengasingan kuasa  Montesquieu. Menurut teori pengasingan kuasa ini, kerajaan dibahagikan kepada;
i.                 Badan legislatif
ii.                Badan eksekutif
iii.               Badan judisiari

Pemerintahan raja berperlembagaan berlangsung selama setahun sebelum bertukar kepada republik. Perancis masih tidak aman kerana berlaku perpecahan golongan pendukung revolusi iaitu Jacobin dan girondin. Perancis turut terlibat dalam peperangan dengan negara jiran mereka iaitu Austria dan Prusia apabila golongan bangsawan Perancis lari ke kedua-dua negara berkenaan. Golongan bangsawan ini cuba mempertahankan sistem monarki di Perancis.

Keadaan kacau-bilau ini melahirkan pemerintahan diktator yg dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas. Pemerintah dikuasai golongan Jacobin yg diketuai Maximilien Robespierre. Kumpulan ini mewujudkan Mahkamah Revolusi dan menggubal Undang2 Syak yang mengenakan hukuman tembak dan pencung kepada golongan musuh revolusi dan golongan menyokong raja.

Raja Louis XVI dan isterinya Marie Antoinnette juga dihukum pancung dengan gilotin. Maximilien Robespierre sendiri dihukum pancung oleh puak yang menyokong parlimen Kematian Maximilien menandakan berakhirnya Zaman Pemerintahan  Ganas. Keadaan tidak stabil ini tamat bila Napoleon Bonaparte mengambil alih pemerintahan [1799].
Napoleon Bonaparte

 
Kesimpulan
Perubahan sistem pemerintahan di Perancis begitu ketara. Daripada zaman feudal yang mengamalkan pemerintahan raja berkuasa mutlak berubah kepada raja berperlembagaan. Berlaku pelbagai peristiwa yang membawa kepada perubahan ini sebelum kestabilan politik dicapai.





Raja Mutlak & Raja Berperlembagaan di England

Pengenalan
Sistem pemerintahan beraja bermula sejak penghujung abad ke-15. Ia diasaskan oleh oleh Raja Henry VII [Dinasti Tudor]. Sejak berakhirnya Perang Bunga Ros, majoriti masyarakat England bersetuju sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak sebagai penyelesai keadaan huru-hara.

Zaman Dinasti Tudor [1485 – 1603] mendapat sokongan rakyat walaupun mengamalkan pemerintahan beraja mutlak. Raja-raja Tudor menghormati prinsip perbatasan pemerintah [yang terkandung di dalam Magna Carta].


Parlimen England
Parlimen England terdiri daripada;
i.      House of Lord [tuan tanah yg kaya, bishop dan kerabat diraja] – lebih berkuasa
ii.     House of Commons [knight, orang kaya dan peguam]

Pada awal abad ke-17,  berlaku perubahan dalam masyarakat England.
i. Di luar bandar: Muncul golongan gentry iaitu golongan yang memiliki tanah, bertani dan menternak sehingga kaya-raya melebihi golongan bangsawan.
ii. Di Bandar: muncul golongan bourjois iaitu saudagar yg kaya akibat kepesatan perdagangan, berpendidikan tinggi dan berpengetahuan dalam bidang ekonomi

Golongan gentry dan bourjois banyak menganggotai House of Commons. Kedua-dua golongan ini berani mempertikaikan pengaruh politik dalam House of Lord yg didominasi oleh golongan aristokrat.

Pada masa yg sama berlaku pergeseran mahzab gereja di England. Sebilangan kecil penganut mahzab Protestan tidak puas hati dengan gereja kebangsaan England iaitu Anglican yg masih mengamalkan sifat gereja tradisional Kristian iaitu Katolik. Golongan ini dikenali sebagai puritan. Golongan ini bermatlamat membersihkan amalan gereja di England daripada pengaruh gereja Katolik Rom.
Oliver Cromwell

Selepas kemangkatan Ratu Elizabeth I [berakhirnya Dinasti Tudor], sepupunya Raja
James I dari Scotland ditabalkan menjadi raja [bermulanya Dinasti Stuart]. Raja-Raja
Stuart terpaksa menghadapi  kebangkitan golongan puritan sehingga berlakunya perang
saudara [Revolusi Puritan].

Tindakan Raja James I yang berpegang teguh kepada doktrin kuasa suci raja
[menganggap kedudukan raja mengatasi segala undang2] menyebabkan Baginda
ditentang oleh golongan puritan [gentry dan bourjois] yg ingin memisahkan gereja dari
pemerintahan.

Selain itu, sikap pilih kasih baginda dalam urusan perdagangan, menyebabkan
golongan saudagar marah. Raja James I telah membelakangkan parlimen dalam isu
cukai.

Keadaan bertambah celaru bila Raja Charles I menggantikan ayahndanya sehingga
parlimen mengeluarkan Petition of Right. Petisyen ini mengutuk raja yg bersikap
autokratik.

Golongan puritan semakin marah bila Bishop Besar William Laud yg dilantik oleh Raja
Charles I melarang golongan puritan melakukan aktiviti keagamaan mereka. Pada
tahun1645, berlaku perang. Tentera parlimen yg dipimpin Oliver Cromwell berjaya
mengalahkan tentera Raja Charles I. Oliver Crom well juga menyingkirkan ahli parlimen
yang proraja. Beliau kemudian mengisytiharkan England sebagai Negara Republik dan
dia sendiri sebagai ketua.

Tentangan ke atas Oliver
Terdapat dua puak yang menentang pemerintahan Oliver iaitu;
i.          Golongan levelers: kumpulan yg dipimpin oleh John Liburne yg mahukan setiap rakyat England berhak mengundi dan bukannya golongan kaya sahaja.

ii.        Golongan diggers: kumpulan radikal yg menuntut persamaan hak dalam pemilikan harta & mahu gereja ditukar menjadi institusi pendidikan untuk rakyat.

Oliver Cromwell kemudiannya membubarkan parlimen dan membentuk kerajaan baru
iaitu Protectorate dan melantik dirinya sebagai Lord Protectorate. Walaupun memerintah
mengikut perlembagaan, tetapi pemerintahannya bercorak diktaktor ketenteraan.
Oliver meninggal dunia dan diganti oleh anaknya, Richard Cromwell tetapi meletak
jawatan tidak sampai  setahun kemudian.

Kesimpulan
Keadaan politik England semasa zaman pemerintahan beraja Dinasti Tudor  agak tenang sehinggalah rakyat bangkit menentang semasa pemerintahan Dinasti Stuart. Penentangan ini berpunca daripada sikap pemerintah yang terlalu taksub dengan kuasa mutlak sehingga membelakangkan rakyat. Penentang yang tercetus akhirnya menjurus kepada pengenalan sistem pemerintahan raja berperlembagaan.


Jumlah Kunjungan Sahabat [Sejak 19 Mei 2012]